
PASIR PUTEH, 5 Julai – Dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki bersama-sama empat lagi individu dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, di sini, awal pagi tadi.
- Operasi bomba diaktifkan selepas panggilan kecemasan diterima pada 6.34 pagi, melibatkan 13 anggota BBP Pasir Puteh dan Ketereh.
- Dua wanita disahkan maut di lokasi akibat kecederaan parah; mangsa lain dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; siasatan berlanjutan termasuk kenyataan pengawal keselamatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Pasir Puteh, Azhar Helmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 6.34 pagi dan operasi melibatkan 13 anggota daripada BBP Pasir Puteh serta BBP Ketereh
Menurutnya, dua wanita berusia lingkungan 30-an dan 50-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala mangsa lain yang cedera telah dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.
Katanya, semua mangsa dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dan memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Beliau turut mengesahkan, kejadian tidak membabitkan pelajar sekolah.
Dalam pada itu, pengawal keselamatan sekolah tersebut, Ahmad Sidiki Abdul Rahman berkata, beliau dan rakan setugas mendengar dentuman kuat sebelum mendapati sebuah SUV telah merempuh bangunan surau sekolah.
“Rakan setugas saya dah telefon 999. Ketika itu, mangsa dalam kereta sedang meminta tolong. Saya cuba buka pintu tapi tidak berjaya kerana keadaan kenderaan terlalu teruk. Saya kemudian hubungi Balai Bomba Pasir Puteh untuk bantuan lanjut,” katanya ketika ditemui RTM di lokasi kejadian.
Menurutnya, terdapat enam individu dalam kenderaan berkenaan membabitkan lima wanita dan seorang lelaki, dengan kenderaan itu dipercayai dipandu seorang wanita dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Mamat mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.