Kerajaan sedia tambah baik mekanisme subsidi diesel di pedalaman Sabah

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan BUDI Diesel distesen Shell Jalan UMS hari ini / Foto BERNAMA

PAPAR, 5 Julai – Kerajaan Persekutuan sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam menambah baik pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi bersasar bertujuan memastikan bantuan dinikmati golongan layak dan mengurangkan ketirisan.
  • Kuota subsidi diesel dinaikkan dari 200 liter kepada 300 liter, lebih 220,000 pemilik telah menerima peningkatan.
  • Kelayakan diperluas termasuk pikap dan SUV untuk mengangkut barangan dan penumpang, serta pemindahan kuota dan SKDS Fleet Card untuk perniagaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan sebarang penambahbaikan terhadap mekanisme sedia ada dapat dilaksanakan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.

Menurut beliau, kerajaan memahami situasi di Sabah yang berbeza berbanding negeri lain memandangkan ramai penduduk, terutama di kawasan pedalaman, bergantung kepada diesel untuk kegunaan harian termasuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perniagaan.

“Di Sabah bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara, jika ada mekanisme yang membenarkan, kita akan melihat perkara itu. Namun yang penting, kita memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan kerana mereka lebih memahami situasi sebenar di lapangan.

“Dengan maklum balas yang diberikan, kita boleh mengusahakan mekanisme yang lebih sesuai kepada mereka yang benar-benar terkesan,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Turun Padang BSN Mikro Financing di Tamu Papar, di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan subsidi diesel bersasar bertujuan memastikan subsidi kerajaan benar-benar dinikmati golongan yang layak, sekali gus mengurangkan ketirisan.

Sehingga kini, katanya, kerajaan telah meningkatkan kuota subsidi diesel daripada 200 liter kepada 300 liter bagi pemohon yang layak, dengan lebih 220,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara telah memohon dan menerima peningkatan kuota tersebut.

Menurut beliau, kerajaan turut memperluaskan kelayakan kepada pemilik kenderaan pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang digunakan bagi tujuan mengangkut barangan atau penumpang, selain membenarkan pemindahan kuota kepada pengguna sebenar sekiranya kenderaan didaftarkan atas nama individu lain.

Mengulas keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan penduduk pedalaman Sabah, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, individu yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan penumpang atau barangan sebagai aktiviti perniagaan boleh mengemukakan permohonan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) Fleet Card, tertakluk kepada penilaian pihak berkaitan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa meneliti setiap maklum balas yang diterima dan tidak menolak kemungkinan menambah baik mekanisme sedia ada sekiranya terdapat keperluan.

Namun sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan penilaian yang teliti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat diteruskan bagi membolehkan MOF memperoleh gambaran sebenar keadaan di lapangan, sekali gus merangka mekanisme yang lebih berkesan untuk membantu rakyat, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.