
JOHOR BAHRU, 1 Julai – Cubaan dua adik beradik membawa pelbagai jenis dadah serta barangan bernilai hampir RM7 juta gagal, selepas ditahan dalam operasi di perairan Tanjung Piai, Pontian pada Isnin lepas.
- Pemeriksaan bot menemui 88.2 kg syabu bernilai RM4.41 juta dan 18 kg pil Ekstasi bernilai RM2.25 juta, disembunyikan bawah tempat duduk dan pukat.
- Siasatan lanjut menemui 787 katrij vape mengandungi dadah sintetik "piu piu" dalam kereta di perkarangan kediaman Gelang Patah.
- Saringan urin positif Metamphetamine; suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemangku Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan di 3.5 batu nautika perairan tenggara Tanjung Piai.
“Kejayaan merupakan hasil risikan pada malam 28 Jun, berhubung kehadiran sebuah bot fiber yang mencurigakan.
“Susulan maklumat itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak bagi pemantauan serta pengesanan di lokasi.
“Pemeriksaan lanjut keatas bot menemukan syabu kira-kira 88.2 kilogram (kg) bernilai RM4.41 juta dan 18 kg pil Ekstasi bernilai RM2.25 juta yang disembunyikan dibawah tempat duduk tekong dan dibawah longgokan pukat,”katanya dalam sidang media.
Beliau turut memaklumkan, siasatan lanjut telah membawa penemuan 787 katrij vape yang mengandungi dadah sintetik dikenali sebagai “piu piu” bernilai lebih RM196,000 dalam sebuah kereta di perkarangan sebuah kediaman di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Saringan awal urin mendapati mereka positif Metaphetamine.
Kedua-dua suspek kini, direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.