
KUANTAN, 11 September – Seorang pemandu lori didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kematian empat mangsa dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah lori dan 10 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, pada 31 Ogos lalu.
- Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Nama mangsa yang dinamakan dalam pertuduhan: Muhammad Nazatullah Nazmi, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, Muhammad Armaan Nazeef Muhammad Nazatullah dan Seow Beng Wai.
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; hukuman termasuk mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.
- Kemalangan tular; membabitkan tiga beranak pemilik Secangkir Cafe di Kuantan yang kini telah ditutup.
Tertuduh, Zulkarnain Md Noh, 52, didakwa di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, hari ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Nazatullah Nazmi, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, Muhammad Armaan Nazeef Muhammad Nazatullah dan Seow Beng Wai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Nuur Fakhizaa menetapkan 12 November ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Kemalangan berkenaan mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial kerana membabitkan tiga beranak yang juga pemilik Secangkir Cafe di Kuantan, yang kini telah ditutup.