
ISKANDAR PUTERI, 12 September – Johor Darul Takzim (JDT) membenam Negeri Sembilan FC (NSFC), 3-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Jumaat.
- JDT kekal di tangga teratas liga dengan 15 mata.
- Zaheditabar gol minit ke-11 selepas manfaatkan bola muntah penjaga gol Azri.
- Bergson gol minit 30 hasil hantaran Afiq Fazail; Marcos Guilherme gol minit 65 dari hantaran Arif Aiman.
- Jurulatih Xisco mahu perbaiki tempo dan mentaliti pemain; Daniel Giminez tekankan keyakinan pasukan meskipun jurang.
Kemenangan itu mengekalkan kedudukan JDT di tangga teratas liga, dengan 15 mata.
Gol pertama JDT dijaringkan Zaheditabar Shahab pada minit ke-11 selepas memanfaatkan bola muntah daripada penjaga gol, Azri Ab Ghani.
Bergson Da Silva pula, menjaringkan gol kedua JDT pada minit 30 selepas menyempurnakan hantaran Afiq Fazail.
Manakala gol ketiga JDT disempurnakan Marcos Guilherme pada minit 65, menerusi hantaran Arif Aiman.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, beberapa aspek skuad perlu ditambahbaik, seperti tempo permainan lebih baik, untuk menyerang bahagian blok rendah lawan, seterusnya membuka ruang untuk melakukan lebih banyak serangan.
“Ini adalah soal mentaliti pemain yang perlu kami tambah baik. Dalam perlawanan sebegini, kita tidak boleh leka sehingga memberi ruang kepada pihak lawan untuk melakukan serangan,” katanya.
JDT juga perlu lebih berhati-hati untuk tidak membiarkan pemain lawan mendapat peluang mudah untuk menyerang gawal gol.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC Daniel Giminez Alcaniz berkata, meskipun JDT dibarisi pemain yang beraksi di peringkat Liga Juara-Juara Asia, pasukannya tetap yakin untuk bersaing dalam perlawanan berkenaan.
“Walaupun terdapat jurang yang besar, kami tetap hadir ke Iskandar Puteri untuk bersaing. Kami perlu percaya kepada kemampuan pasukan dan terus mencuba. Jika tidak mempunyai keyakinan, kami tidak akan datang ke sini,” katanya.