Kuala Lumpur ke final, tumpaskan Pahang selepas drama penalti

Kuala Lumpur menewaskan Pahang 4-3 menerusi penalti sudden death

PETALING JAYA, 12 September – Kuala Lumpur menewaskan Pahang 4-3 menerusi penalti sudden death selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi separuh akhir penuh dramatik kejohanan hoki Piala TNB Tun Abdul Razak 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuala Lumpur menyamakan kedudukan pada 14 saat terakhir selepas 60 minit permainan, memaksa keputusan ditentukan melalui shoot-out.
  • Penentuan shoot-out berlangsung sangat ketat dengan kedua-dua pasukan saling bersaing.
  • Kapten Nur Syafiqah puji semangat juang dan gabungan pemain berpengalaman serta pemain muda sebagai kekuatan.
  • Kuala Lumpur bakal bertemu Selangor pada 13 September di Stadium Hoki MBDK, Klang; Pahang akan berdepan Melaka untuk tempat ketiga.

Lebih mendebarkan, Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki hanya 14 saat untuk mengikat Pahang 3-3 selepas 60 minit permainan, sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Dalam penentuan shoot-out, kedua-dua pasukan sekali lagi terikat 3-3 sebelum Kuala Lumpur akhirnya muncul pemenang menerusi penalti sudden death bagi mengesahkan kemaraan ke pentas final.

Ketua Pasukan Hoki Wanita Kuala Lumpur, Nur Syafiqah Mohd Zain, memuji semangat juang rakan sepasukan yang berjuang hingga wisel penamat, selain menyifatkan gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda sebagai kekuatan pasukan.

“Saya sangat bangga dengan rakan-rakan yang bermain sehingga wisel penamat.

“Kami juga berpuas hati dengan persembahan pemain muda kerana mereka banyak membantu pasukan. Gabungan ini sangat menarik dan kami percaya kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas perlawanan menentang Pahang bagi Piala TNB Tun Abdul Razak 2026 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Nur Syafiqah Mohd Zain

Kuala Lumpur berdepan cabaran kecergasan selepas memberikan sepenuh tenaga pada separuh masa pertama, sebelum keletihan mula dirasai pada separuh masa kedua.

Namun, keinginan tinggi untuk memperbaiki pencapaian musim lalu menjadi pencetus kebangkitan pasukan.

“Musim lalu kami berada di tempat ke-10, jadi apabila berjaya ke separuh akhir musim ini, ia sudah menjadi satu kebanggaan.

“Namun, kami mahu ke peringkat akhir dan sebab itu, kami berhabis-habisan pada suku keempat untuk mendapatkan kemenangan,” jelasnya.

Kuala Lumpur akan bertemu Selangor dalam aksi akhir pada 13 September di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang, manakala Pahang pula akan berdepan Melaka bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.