Selangor tempah tiket final, Badrul mahu pemain kekal fokus

Selangor tempah tiket ke pentas akhir selepas menewaskan Melaka 3-2

PETALING JAYA, 12 September – Selangor terus menghidupkan misi memburu kejuaraan kejohanan hoki Piala TNB Tun Abdul Razak 2026 apabila menyingkirkan Melaka 3-2 dalam aksi separuh akhir, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih puji komitmen tinggi pemain berjuang sehingga wisel penamat merealisasikan impian pasukan ke perlawanan penentuan.
  • Tekanan disiplin bila hilang penguasaan bola; pemain diingatkan pantas berundur dan membentuk semula benteng pertahanan.
  • Selangor alihkan fokus kepada aksi akhir menentang Kuala Lumpur pada Ahad di Stadium Hoki MBDK, Klang untuk menjulang Piala TNB.

Dalam perlawanan sengit itu, Selangor mempamerkan aksi lebih tersusun untuk memastikan kemenangan tipis sekali gus mengesahkan kemaraan ke pentas akhir.

Jurulatih Pasukan Hoki Wanita Selangor, Mohd Badrul Hisham Osman, memuji komitmen tinggi dipamerkan pemain yang berjuang sehingga wisel penamat bagi merealisasikan impian pasukan itu melangkah ke perlawanan penentuan.

“Pemain memberikan segala yang mereka ada untuk memenangi perlawanan hari ini.

“Mereka berjaya mengawal permainan dan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mendapatkan kemenangan serta melangkah ke pusingan akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Mohd Badrul turut menegaskan bahawa aspek disiplin ketika kehilangan penguasaan bola perlu terus diberi perhatian, dengan pemain diingatkan supaya pantas berundur dan membentuk semula benteng pertahanan.

“Seperti yang kita pesan kepada semua pemain, apabila kehilangan bola, semua perlu berada di belakang bola untuk bertahan.

“Kita tidak mahu melihat pemain berjalan di atas padang selepas kehilangan bola, sebaliknya perlu segera kembali membantu pertahanan dan tidak memberi ruang kepada lawan untuk memasuki kawasan kita,” katanya lagi.

Selangor kini mengalihkan fokus kepada aksi akhir menentang Kuala Lumpur pada Ahad di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang, dalam usaha menjulang kejuaraan Piala TNB Tun Abdul Razak 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.