Bayaran untuk Sabah naik kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 11 September – Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah mulai tahun ini, sementara rundingan berhubung penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil negeri itu diteruskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan bersetuju menambah bayaran interim kepada Sabah sebagai langkah sementara.
  • Rundingan mengenai tuntutan hasil negeri diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan perjanjian asal.
  • Perdana Menteri akan meneruskan perbincangan dengan Premier Sarawak dan mengumumkan langkah interim mungkin pada 16 September.
  • Setuju cadangan Sarawak supaya diperkenalkan formula jelas dengan keupayaan serta had minimum dan maksimum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan permohonan Kerajaan Negeri Sabah supaya penyelesaian bayaran 40 peratus kepada negeri berkenaan diberikan pertimbangan sewajarnya.

Katanya, bayaran interim RM1.5 bilion itu akan diserahkan kepada Sabah tahun ini, dengan proses berkenaan dijangka dilaksanakan selepas Parlimen bersidang pada Oktober, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November.

“Saya telah bersetuju untuk menambah segera mulai tahun ini kepada RM1.5 bilion sebagai langkah interim.

“Rundingan masih diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara, seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian asal,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, walaupun Sarawak tidak termasuk dalam peruntukan Perlembagaan berkaitan 40 peratus Sabah, semangat yang sama perlu dipertimbangkan untuk negeri berkenaan.

Menurutnya, perbincangan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang.

Malah, beliau berharap dapat mengumumkan langkah interim untuk Sarawak pada 16 September, bersempena sambutan Hari Malaysia di Kuching.

Pada masa sama, Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan Sarawak supaya satu formula yang jelas diperkenalkan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan serta had minimum dan maksimum.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.