Festival Turath Islami Malaysia 2026 diangkat ke peringkat nasional

Festival Turath Islami Malaysia 2026 berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya pada 13 hingga 20 September ini./ Dr. Zulkifli Hassan

KUALA LUMPUR, 11 September – Festival Turath Islami Malaysia 2026 yang memasuki tahun keempat kini diangkat ke peringkat nasional bagi memperluas penghayatan masyarakat terhadap warisan ilmu Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Turath bukan sekadar bacaan kitab; ia merangkumi metodologi, adab, akhlak dan keberkatan dalam menuntut ilmu.
  • Pengajian turath membentuk jiwa dan pemikiran, memupuk sifat wasati, ihsani serta nilai Islam yang membawa rahmah.
  • Festival menghimpunkan ulama dari Al-Azhar, Maghribi, Indonesia dan Malaysia serta wakil pejabat mufti dan institusi pengajian tinggi.
  • Program termasuk Daurah Al-Hikam, bacaan kitab, Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan, Festival Buku Islami dan kaedah talaqqi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pengajian turath tidak seharusnya dilihat sekadar pembacaan kitab, sebaliknya merangkumi metodologi, adab, akhlak dan keberkatan dalam menuntut ilmu.

Beliau berkata, pendekatan itu penting supaya warisan keilmuan Islam dapat difahami secara menyeluruh dengan bimbingan ulama yang berautoriti.

“Turath bermakna bukan hanya bacaan kitab tetapi turath itu ada metodologi, ada adab, ada akhlak, ada keberkatan keilmuan. Jadi ini yang kita cuba bawakan apabila kita menggali turath itu, apabila kita dibimbing oleh ulama-ulama yang hebat untuk kita memahami turath,” katanya kepada pemberita RTM selepas muncul dalam program Selamat Pagi Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, pengajian turath juga berperanan membentuk jiwa dan pemikiran masyarakat selain memperkukuh kefahaman Islam dalam mendepani cabaran semasa.

Katanya, pendekatan itu penting dalam melahirkan masyarakat yang bukan sahaja bersifat wasati dan ihsani, malah mampu menerapkan nilai Islam yang membawa rahmah dalam kehidupan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (kiri) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditemui pemberita RTM selepas munul dalam program Selamat Pagi Malaysia./ RTM

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, festival berkenaan mula dianjurkan kerajaan negeri dan memasuki tahun keempat sebelum diperluas ke peringkat nasional pada tahun ini.

Beliau berkata, penganjuran kali ini menghimpunkan tokoh ulama dari pelbagai latar termasuk Al-Azhar, Maghribi, Indonesia dan Malaysia, selain wakil pejabat mufti serta institusi pengajian tinggi.

Katanya, Kitab Al-Hikam karya Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari dipilih sebagai karya utama tahun ini dengan pengajian memberi tumpuan kepada aspek jiwa, keredaan kepada Allah, rezeki dan ketenangan hati.

“Tahun ini, karyanya adalah Kitab Hikam Ibnu ‘Ata’illah As-Sakandari yang akan memberikan penjelasan ataupun lebih mendalam dalam aspek jiwa, dalam aspek keredaan kepada Allah, dalam aspek rezeki, dalam aspek ketenangan hati dan perasaan.”

Amirudin berkata, pengisian festival turut diperluas melangkaui pengajian kitab bagi mendekatkan warisan turath kepada masyarakat umum.

Menurutnya, turath bukan sekadar kitab, sebaliknya turut merangkumi warisan cara hidup, kehidupan dan pendekatan pengajaran yang diwariskan secara turun-temurun, termasuk kaedah talaqqi.

“Festival turath itu bukan hanya kitab tetapi juga adalah warisan cara hidup, kehidupan dan juga pendekatan. Jadi ini akan dikembalikan ataupun diperkenalkan termasuk kaedah pengajaran secara talaqqi dan sebagainya. Jadi ia adalah untuk semua, jadi ia akan membawa manfaat kepada semua.”

Beliau berkata, kandungan Al-Hikam kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa kerana dapat memberikan kekuatan jiwa kepada masyarakat.

Katanya, masyarakat kini berdepan pelbagai kekeliruan serta tuntutan modeniti yang memerlukan ketenangan dan kekuatan jiwa.

“Jadi relevannya, ia mungkin memberikan pendekatan kepada kekuatan jiwa manusia dalam berdepan dengan cabaran-cabaran terkini. Kita berdepan dengan beberapa kekeliruan dan modeniti yang memerlukan ketenangan jiwa, yang memerlukan kekuatan jiwa dan sebahagiannya ada dalam Kitab Hikam.”

Festival Turath Islami Malaysia 2026 berlangsung dari 13 hingga 20 September dengan pelbagai pengisian termasuk Daurah Al-Hikam, bacaan kitab, Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan, Festival Buku Islami serta program berkaitan keilmuan dan masyarakat.

Program utama festival dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.