
KOTA KINABALU, 11 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas, Kota Kinabalu.
- Ketibaan diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan disambut para jemaah.
- Beliau mendengar khutbah bertajuk Hari Malaysia: Nikmat Keamanan, Amanat Bersama.
- Lebih 2,000 jemaah hadir; penduduk setempat menyambut baik dan menyediakan persiapan menyambut kedatangan beliau.
Ketibaan beliau kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dengan disambut para jemaah masjid itu.
Beliau kemudian mendengar khutbah Jumaat bertajuk “Hari Malaysia: Nikmat Keamanan, Amanat Bersama”, sebelum menunaikan solat bersama jemaah.
Seusai solat, beliau bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Likas, selain beramah mesra dengan masyarakat setempat.
Kehadiran beliau ke masjid berkenaan mencerminkan hubungan rapat dengan masyarakat, khususnya penduduk setempat sepanjang lawatan kerja di Sabah.
Lebih 2,000 jemaah terdiri daripada penduduk kampung dan masyarakat setempat hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Sementara itu, rata-rata penduduk menyambut baik dan teruja dengan kehadiran Perdana Menteri di negeri itu.
“Alhamdulillah, pada hari ini, kita sangat bangga kerana julung-julung kalinya, Perdana Menteri dapat datang ke masjid ini untuk menunaikan solat Jumaat,” kata Pengerusi Masjid Jamek Kampung Likas, Datuk Seruji Nawawi.
“Kedatangan Perdana Menteri ke Masjid Jamek Kampung Likas ini sangat bermakna. Sebab itu, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), ketua kampung dan masyarakat setempat bersama-sama bergembira serta bersemangat menyambut kedatangan Datuk Seri Anwar.
“Kami turut membuat persiapan, termasuk memastikan kebersihan kampung sebagai tanda menyambut kedatangan beliau. Ini merupakan salah satu bentuk semangat masyarakat kampung dan kami sangat gembira dengan kehadiran Perdana Menteri ke Kampung Likas,” kata Ketua Belia Kampung Likas, Mohd Sharil Samir.