
KOTA KINABALU, 11 September – Kerajaan bersetuju pada prinsipnya untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, selaras dengan kedudukan kedua-dua wilayah itu dalam pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
- Keputusan itu antara perkara utama yang dipersetujui dalam Mesyuarat MTPMA63.
- Penambahan kerusi Parlimen perlu meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak, bukan mensasarkan 40 peratus.
- Mekanisme, jumlah dan rundingan dengan SPR, negeri dan parti perlu diselesaikan; pelaksanaan bergantung kepada persetujuan dan proses perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu antara perkara utama yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Beliau berkata, penambahan kerusi Parlimen perlu dibuat dengan memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak meningkat berbanding kedudukan semasa.
Menurut beliau, pada 1963, dengan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak mempunyai prinsip satu pertiga daripada keseluruhan perwakilan.
Bagaimanapun, mekanisme serta jumlah penambahan kerusi perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), negeri-negeri dan parti politik berkaitan.
Ketika ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Ditanya sama ada kerajaan menyasarkan 40 peratus perwakilan untuk Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Anwar berkata tidak, sebaliknya prinsip yang dipersetujui ialah penambahan kerusi yang meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah berkenaan.
Beliau berkata, kabinet sudah membuat keputusan mengenai perkara itu dan SPR telah dimaklumkan untuk memulakan proses rundingan.
Bagaimanapun, pelaksanaannya bergantung pada persetujuan serta proses perlembagaan yang perlu dilalui.