190 liter air ketum dirampas, dua lelaki dicekup PGA

PGA merampas 190 bungkus air ketum serta daun ketum yang dipercayai diproses untuk dijual di sekitar Tanah Merah/Foto PGA Briged Tenggara

TANAH MERAH, 1 Julai – Dua lelaki tempatan dipercayai menerima upah RM60 sehari untuk memproses dan menjual air ketum ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Mitra di Kampung Bechah Tok Kamal, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA merampas 190 bungkus air ketum, kira-kira 30 kilogram daun ketum, empat pil yaba dan peralatan pemprosesan.
  • Dua lelaki tempatan berusia 23 dan 36 tahun ditahan; ujian saringan air kencing seorang positif methamphetamine.
  • Kedua-dua suspek mengaku memproses dan menjual air ketum sejak Februari 2024, mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus sehari.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 36 tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 30 kilogram daun ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM9,490.

“Hasil pemeriksaan menemukan 190 bungkus air ketum, kira-kira 30 kilogram daun ketum, empat biji pil yaba seberat 0.4 gram serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

“Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi negatif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan Op Taring Mitra membabitkan kegiatan memproses dan menjual air ketum/Foto PGA Briged Tenggara

Katanya, kedua-dua suspek mengaku menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum sejak Februari 2024 secara sepenuh masa.

“Mereka dipercayai menerima upah RM60 sehari daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Sardi’ dan mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus air ketum sehari,” katanya.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.