
KUALA LUMPUR, 11 September – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) mengesan lapan percubaan penipuan membabitkan tempahan perolehan kerajaan, dengan dua penipuan tersebut melibatkan kerugian melebihi RM200,000 kepada pembekal.
- Penipuan dikesan apabila pembekal hadir ke pejabat pada 4 Sept untuk menyemak kesahihan dokumen perolehan.
- Pesanan palsu menggunakan dokumen dan kepala surat JAS palsu serta tandatangan pengurusan dipalsukan.
- Pembekal didakwa diminta membayar lebih RM100,000 sebagai bayaran awal untuk cenderamata, kononnya akan dibayar balik.
- JAS WPKL membuat laporan polis, memaklumkan Bahagian Kewangan dan menasihatkan pembekal supaya menyemak dokumen perolehan.
Pengarah JAS WPKL, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata penipuan berkenaan mula dikesan pada 4 September lepas apabila seorang pembekal peralatan selaman hadir ke pejabat jabatan itu bagi membuat semakan kesahihan dokumen perolehan kerajaan yang diterimanya.
Beliau berkata sebelum itu, JAS WPKL turut menerima beberapa pertanyaan berkaitan dokumen perolehan kerajaan berkenaan sejak pertengahan Ogos lepas.
“Pada 8 September 2026, seorang wakil syarikat pembekal turut hadir ke pejabat JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membuat pertanyaan mengenai pesanan tempahan cenderamata bernilai lebih RM100,000 yang kononnya dibuat oleh JAS WPKL untuk kegunaan satu program yang turut didakwa akan diadakan oleh jabatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata semakan JAS WPKL mendapati tiada sebarang pesanan cenderamata atau apa-apa tempahan program berkenaan dibuat oleh jabatan itu.
Beliau berkata tempahan yang diterima pembekal didapati menggunakan dokumen palsu yang turut menyalahgunakan nama pegawai JAS WPKL.
“Berdasarkan maklumat pembekal, mereka mendakwa telah memindahkan lebih RM100,000 kepada pihak tertentu sebagai pembayaran awal untuk cenderamata yang kononnya akan digunakan untuk program.
“Menurut pembekal, bayaran cenderamata ini kononnya akan dibayar semula kepada pihaknya melalui bayaran keseluruhan untuk program,” katanya.
Menuru beliau, JAS WPKL telah meminta pembekal berkenaan membuat laporan polis berkaitan penipuan tersebut.
“Pada 9 September 2026, JAS WPKL telah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatan mana-mana pegawai Jabatan ini dalam membuat pesanan palsu. Laporan juga telah dibuat kepada Bahagian Kewangan JAS Ibu Pejabat.
“Pada 10 dan 11 September 2026, JAS masih menerima pertanyaan mengenai pesanan perolehan kerajaan palsu.
“Sehingga ini telah lapan kes dicatatkan melibatkan kerugian kepada dua pembekal dengan jumlah melebihi RM200,000,” katanya.
Beliau berkata pihak yang melakukan penipuan itu turut memalsukan dokumen berkaitan perolehan kerajaan, termasuk menggunakan kepala surat JAS palsu serta tandatangan pihak pengurusan yang turut dipalsukan.
“Aduan polis telah dibuat bagi kesemua kes untuk tindakan lanjut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“JAS WPKL ingin nenasihat semua pembekal dan kontraktor mengambil sikap berhati-hati dan membuat semakan kesahihan dokumen perolehan kerajaan yang diterima”, katanya menerusi kenyataan.