Aktiviti mendaki berakhir tragedi, pelancong Jerman maut

Lelaki warga Jerman maut selepas terjatuh ke dalam lubang ketika aktiviti mendaki di Jungle Trail 10, Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS, 11 September – Seorang lelaki warga Jerman maut selepas terjatuh ke dalam lubang bekas laluan air ketika melakukan aktiviti mendaki di Jungle Trail 10, Cameron Highlands, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata lelaki yang dikenali sebagai Hasselbusch Joerg 58 tahun, ditemukan tidak sedarkan diri selepas terjatuh.

Mangsa sebelum itu menjalankan aktiviti mendaki bersama pasangannya, Hasselbusch Marina,57 tahun, yang dilaporkan selamat.

“JBPM Pahang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.04 tengah hari sebelum sepasukan 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands dikejarkan ke lokasi.

“Jentera tiba di kaki bukit pada pukul 12.35 tengah hari sebelum anggota meneruskan perjalanan sejauh kira-kira tujuh kilometer dengan berjalan kaki ke lokasi kejadian”, katanya menerusi kenyataan.

Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan pengusung dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi yang turut dibantu Polis, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditamatkan pada pukul 4.43 petang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.