
KOTA BHARU, 1 Julai – Seorang buruh dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 39.367 kilogram, pada Jun 2021.
- Hakim Mohd Rosli Yusoff: pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir pendakwaan.
- Mahkamah: tidak terbukti hanya tertuduh ada akses ke rumah tempat barang dijumpai.
- Saksi mengesahkan rumah tidak berkunci dan dijadikan transit barangan seludup sebelum diseludup ke Thailand.
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya; pendakwaan dikendalikan Nik Nur Adila, pembela oleh Tengku Shazuan dan Ahmad Nizam.
Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Rosli Yusoff itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh, Amran Salleh, 53 tahun.
Mohd Rosli dalam penghakimannya menyatakan, pihak pendakwa raya gagal membuktikan hanya tertuduh sahaja yang mempunyai akses ke atas rumah tidak bernombor, lokasi barang kes ditemukan di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas.
“Milikan dan kawalan akses pintu rumah terbabit tidak berkunci dan sesiapa sahaja boleh masuk, malah saksi mengesahkan rumah kosong itu dijadikan transit barang-barang salah seperti minyak masak sebelum diseludup ke Thailand.
“Oleh itu, mahkamah membuat keputusan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes, manakala tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa perlu dipanggil membela diri,”katanya.
Mengikut pendakwaan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 9,740.87 gram di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas, lebih kurang pukul 4.30 petang, 7 Jun 2021.
Manakala, pertuduhan pindaan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 29,626.4 gram methamphetamine di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Ahmad Nizam Mohamed.