135 individu ditahan dalam Op Bersepadu banteras pemandu bawah pengaruh dadah

Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali

KUALA LUMPUR, 1 Julai Seramai 135 individu termasuk 121 pemandu lori ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Bersepadu yang dilaksanakan di seluruh negara dari April hingga Jun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 44 operasi bersepadu dijalankan, melibatkan 627 pegawai dan 713 ujian saringan air kencing terhadap pemandu kenderaan perdagangan.
  • Hampir 90 peratus tangkapan melibatkan pemandu kenderaan perdagangan seperti lori, treler dan bas ekspres.
  • Operasi bersama JSJN dan AADK fokus pemandu berisiko tinggi; JSPT tegaskan penggunaan dadah tingkatkan risiko kemalangan maut.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, sebanyak 44 operasi bersepadu dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut melibatkan 627 pegawai dan anggota, dengan 713 ujian saringan air kencing dijalankan terhadap pemandu kenderaan perdagangan.

“Hasil operasi mendapati seramai 135 individu ditahan termasuk 121 pemandu lori dan 14 individu lain, yang menunjukkan hampir 90 peratus tangkapan melibatkan pemandu kenderaan perdagangan.

“Pemeriksaan turut melibatkan semakan lesen, permit dan dokumen syarikat bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten serta bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan berada di jalan raya,” menurut kenyataan itu.

Daripada keseluruhan tangkapan, 27 individu didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya, tiga bawah Seksyen 12(2), 101 bawah Seksyen 15(1), tiga bawah Seksyen 39A dan seorang mengikut Seksyen 6 akta sama.

Operasi itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan tumpuan terhadap pemandu kenderaan perdagangan berisiko tinggi seperti lori, treler, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan membawa bahan berbahaya.

Datuk Seri Mohammed Hasbullah berkata, JSPT memandang serius penggunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia boleh menjejaskan tumpuan, pertimbangan dan keupayaan mengawal kenderaan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan maut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.