
IPOH, 11 September – Kementerian Kewangan (MOF) meneruskan Jelajah Belanjawan 2027 menerusi sesi libat urus bersama pemain industri automotif tempatan dan antarabangsa.
- MOF menilai cadangan industri untuk menambahbaik dasar dan insentif bagi meningkatkan produktiviti, pelaburan asing, serta sokong sasaran EV dan NxGV.
- Tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital, R&D dan inovasi bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik dan teknologi pembuatan bernilai tinggi.
- Memperkasa rantaian bekalan tempatan serta latihan dan peningkatan kemahiran untuk sediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan nilai tambah domestik.
MOF dalam satu kenyataan memaklumkan sesi libat urus berkenaan diketuai Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan DRB-HICOM Bhd. yang diadakan di Tanjong Malim, hari ini.
Turut serta dalam sesi libat urus tersebut ialah pemain industri Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV).
Sesi perbincangan itu diadakan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan industri dalam memperkukuh produktiviti, penerapan teknologi, nilai tambah domestik serta daya saing sektor automotif negara.
Amir Hamzah dalam kenyataan itu berkata industri automotif merupakan pemangkin penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara termasuk menyokong peningkatan sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta sasaran penyerapan kenderaan elektrik (EV) nasional.
“Pemerkasaan sektor automotif berteknologi tinggi bukan sahaja berupaya menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh daya saing eksport negara, malah menjadi pemangkin kepada pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan.
“Cadangan dan maklum balas daripada pemain industri pada hari ini amat bernilai untuk meneliti penambahbaikan dasar, insentif dan langkah fiskal di bawah Belanjawan 2027,” katanya.
MOF memaklumkan penyediaan Belanjawan 2027 dilaksanakan melalui pendekatan yang menyeluruh dan terangkum menerusi sesi libat urus bersama kementerian, Jelajah Belanjawan Negeri serta Perbincangan Kumpulan Fokus melibatkan kerajaan negeri, industri, institusi kewangan, komuniti perniagaan dan pelbagai lapisan masyarakat.
Belanjawan 2027 turut mengambil pendekatan ‘belanjawan berasaskan hasil’ yang mengutamakan keberhasilan peruntukan.
Amir Hamzah memberitahu pendekatan tersebut menyasarkan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan dapat menyelesaikan masalah rakyat, membuka peluang ekonomi dan menghasilkan impak yang nyata.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan peruntukan kerajaan diurus secara cekap, diukur prestasinya secara telus dan membuahkan hasil yang disasarkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah input yang diperoleh sepanjang lawatan ke Perak serta siri libat urus di seluruh negara akan diteliti dalam memuktamadkan Belanjawan 2027.
Sementara itu, MOF memaklumkan sesi libat urus itu memberi tumpuan kepada beberapa keutamaan strategik antaranya Penambahbaikan Dasar dan Langkah Fiskal iaitu mengenal pasti insentif yang dapat meningkatkan produktiviti, pelaburan langsung asing (FDI) serta daya saing sektor automotif di peringkat serantau.
Ini bagi menyokong sasaran pemilikan kenderaan elektrik (EV) dan Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) nasional.
Selain itu, tumpuan diberikan kepada Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi iaitu menyokong keperluan pendigitalan, inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta ekosistem EV dan kenderaan tenaga baharu (NEV).
MOF menyatakan Pengukuhan Rantaian Bekalan Tempatan iaitu memperkasa vendor dan pembekal tempatan agar dapat diintegrasikan secara berkesan ke dalam rantaian nilai global turut diberi tumpuan.
Langkah itu penting bagi meningkatkan nilai tambah yang dicipta dalam negara serta membina keupayaan syarikat tempatan dalam bidang teknologi dan pembuatan bernilai tinggi.
Pembangunan Modal Insan iaitu memastikan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk menyokong ekosistem kejuruteraan dan pembuatan masa hadapan.
Pertumbuhan industri yang lebih produktif dan berteknologi tinggi dijangka memberikan limpahan ekonomi melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan aktiviti perniagaan, pengukuhan eksport serta pengembangan nilai tambah domestik.
Dalam jangka masa panjang, perkembangan aktiviti ekonomi turut berpotensi menyumbang kepada pengukuhan asas hasil negara.
Usaha memperkukuh industri automotif adalah selaras dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport rantau ASEAN bagi NxGV dan kenderaan mesra alam.- BERNAMA