
KOTA KINABALU, 11 September – Elemen citra Sabah bakal dimasukkan dalam kurikulum baharu persekolahan bermula tahun hadapan.
- Perkara ini dipersetujui menerusi perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
- Pelaksanaan menyasarkan murid darjah satu dan tingkatan satu, menekankan kepelbagaian budaya, sejarah dan identiti Sabah.
- Perkara lain dipersetujui termasuk pengisian guru Bahasa Melayu yang boleh membaca Bahasa Cina serta urusan pelantikan pengetua dan guru besar.
Perkara itu antara hasil persetujuan menerusi perbincangan berkaitan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Pelaksanaan itu akan melibatkan murid darjah satu dan tingkatan satu, menerusi kurikulum baharu yang turut menekankan penghayatan terhadap kepelbagaian budaya, sejarah dan identiti Sabah dalam konteks pembentukan Malaysia.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan kekayaan budaya Sabah dapat difahami dan dihayati semua anak-anak, sekali gus memperkukuh semangat persahabatan, perpaduan dan kekuatan Malaysia.
“Kita boleh laksanakan seawal kurikulum baru tahun hadapan, memasukkan elemen citra Sabah dalam kurikulum.
“Jadi saya rasa ini penting kerana kita melihat bahawa persahabatan dan juga kekuatan Malaysia, Sabah dan Sarawak ini sebagai satu kekuatan yang mesti juga dibentuk melalui kurikulum”, katanya.
Selain citra Sabah, beberapa perkara berkaitan pendidikan turut dipersetujui, termasuk pengisian guru Bahasa Melayu yang mempunyai keupayaan membaca dalam Bahasa Cina, selain urusan pelantikan pengetua serta guru besar.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Sains Sabah dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di sini hari ini.