
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menawarkan tempoh sah laku sehingga 10 tahun, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
- PMA struktur baharu dilengkapi 94 ciri keselamatan untuk memperkukuh perlindungan dokumen perjalanan negara.
- Ciri keselamatan merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik bagi mengurangkan pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan.
- Pelaksanaan berperingkat di 71 pejabat pasport mulai Julai; orang ramai dinasihatkan tidak menukar pasport yang masih sah.
Pengenalan PMA struktur baharu itu dilengkapi 94 ciri keselamatan merupakan transformasi penting memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, sekali gus memberi lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat Malaysia.
Ciri-ciri keselamatan tersebut merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik yang direka bentuk bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian serta penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.
Kadar bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan RM350, manakala untuk 5 tahun kekal pada harga RM200.
Malaysia merupakan antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan e-Pasport sejak tahun 1998 dan PMA struktur baharu ini meneruskan tradisi dengan mengintegrasikan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Pelaksanaan PMA struktur baharu akan dilaksanakan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara mulai Julai bagi memastikan peralihan operasi berjalan dengan lancar.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen tersebut masih sah digunakan sehingga enam bulan sebelum tempoh tamat.