15,881 PJRM dilaksana di seluruh negara sejak Januari

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Jun– Sebanyak 15,881 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dilaksanakan di seluruh negara sejak Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PJRM dilaksanakan meliputi semua 600 kawasan DUN dan 40 zon Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan).
  • Kerajaan menaikkan sasaran tahunan kepada 30,000 siri sebagai intervensi menangani krisis tenaga dan bekalan.
  • Pelaksanaan diperkuat melalui lima pendekatan: program tetap, sasaran DUN, penyertaan syarikat, akses rakyat, dan takwim pelaksanaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaannya meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Saban tahun KPDN dapat melaksanakan jumlah kekerapan PJRM yang semakin meningkat melalui peruntukan tambahan yang disalurkan.

Pada tahun 2023, sebanyak 6,870 siri PJRM dilaksanakan, meningkat kepada 12,419 siri pada 2024 dan 25,708 siri pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, sasaran awal pelaksanaan PJRM bagi tahun ini ialah 23,040 siri.

Namun, jumlah itu ditingkatkan kepada 30,000 siri sebagai langkah intervensi kerajaan bagi menangani krisis tenaga dan bekalan.

Katanya, kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan PJRM menerusi lima pendekatan utama.

Ia termasuk menjadikannya program tetap kerajaan, menetapkan sasaran tahunan mengikut DUN, memperluas penyertaan syarikat, meningkatkan akses rakyat serta memperkenalkan takwim pelaksanaan program.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.