
KUALA LUMPUR, 30 Jun– Seramai 1.88 juta rakyat menerima manfaat Dana Perlindungan Nasional B40 (mySalam) sejak skim itu diperkenalkan pada 2019 hingga Disember tahun lalu.
- Tuntutan mySalam berjumlah RM1.4 bilion diluluskan untuk membantu golongan B40 menampung risiko kesihatan dan kos rawatan hospital.
- Penggunaan skim menunjukkan trend memberangsangkan dengan hampir 300,000 penerima dan tuntutan RM276 juta pada 2025 berbanding 190,000 pada 2024.
- Pada Mei dianggarkan 123,000 penerima menerima manfaat melibatkan pembayaran RM108 juta.
- Skim mySalam masih mempunyai baki dana sebanyak RM490 juta setakat 31 Disember 2025.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sepanjang tempoh itu, tuntutan berjumlah RM1.4 bilion diluluskan bagi membantu golongan B40 yang berdepan risiko kesihatan serta kos rawatan di hospital.
“Kadar penggunaan skim ini menunjukkan trend yang memberangsangkan. Pada tahun 2025, hampir 300,000 orang menerima manfaat dengan jumlah tuntutan RM276 juta berbanding 190,000 penerima pada 2024.
Pada Mei tahun ini pula, dianggarkan 123,000 penerima menerima manfaat melibatkan bayaran RM108 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, skim mySalam masih mempunyai baki dana sebanyak RM490 juta setakat 31 Disember 2025.