
LABUAN, 28 Jun – Kejohanan Sepak Takraw Pra- Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di sini membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasakan sukan di peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat muda berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan.
- Kejohanan dijadikan platform penting melahirkan barisan pemain pelapis bagi menghadapi pertandingan kompetitif di peringkat kebangsaan.
- Acara memberi peluang kepada Persatuan Sepak Takraw Labuan menilai prestasi atlet dan persiapan rapi kontinjen Wilayah Persekutuan.
- Impak positif: pemain Labuan semakin berdaya saing dan mendapat sokongan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan serta Majlis Sukan Labuan untuk program akan datang.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Labuan, Abdul Rashid Adlie berkata, penganjuran kejohanan kejohanan berkenaan merupakan platform penting bagi melahirkan barisan pemain pelapis negara dalam menghadapi pertandingan yang kompetitif akan datang.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa kejohanan berkenaan menjadi medan terbaik buat pasukan negeri membuat persiapan rapi, selain memberi peluang kepada Persatuan Sepak Takraw Labuan menilai prestasi semasa atlet yang bakal menggalas cabaran kontinjen Wilayah Persekutuan pada temasya SUKMA nanti.
“Saya nampak impak yang positif yang boleh kita ketengahkan pemain-pemain yang berasal daripada Wilayah Persekutuan Labuan ini boleh berdaya saing dan juga kita diberi peluang oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan juga Majlis Sukan Labuan untuk kita lebih membuat aktiviti atau program seperti ini pada masa-masa akan datang,” katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas kejohanan tersebut di Dewan Arena Perbadanan Labuan di sini.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu turut membabitkan penyertaan daripada pasukan SUKMA wanita negeri.
Selain itu, penganjur turut mengadakan pertandingan bagi kategori regu lelaki tertutup Labuan.