
CYBERJAYA,28 Jun – Skuad memanah tradisional Malaysia menetapkan sasaran satu pingat emas dan satu perak pada temasya Sukan Nomad Dunia ke-6 di Kyrgyzstan yang bakal berlangsung pada 31 Ogos hingga 6 September depan.
- Pengurangan jarak sasaran kira-kira 30% dalam latihan luar untuk kurangkan risiko kecederaan dan tekanan fizikal.
- Latihan berkala dan berterusan digiatkan bagi memastikan pemanah mencapai kemuncak prestasi semasa kejohanan.
- Dua format utama: Teke Bute (40m, tiga formasi) dan Turkish Puta (70m lelaki, 60m wanita) menguji kemampuan pasukan.
Koordinator Kontinjen, Mohd Aswat Kidam berkata, proses pemilihan barisan pemanah negara kini telah pun selesai dan fokus pasukan kini beralih sepenuhnya kepada fasa persiapan akhir yang berbaki kira-kira dua bulan sahaja lagi.
“Insya-Allah, kita menjangkakan (mampu membawa pulang) mungkin satu pingat emas dan satu perak. Dengan masa yang tinggal dua bulan ini, kita akan meneruskan latihan intensif melibatkan beberapa pasukan terutamanya dari segi pemulaan,” katanya.
Bagi memastikan prestasi atlet tidak terganggu serta mengurangkan sebarang risiko kecederaan atau tekanan fizikal yang tidak diingini, skuad negara ketika ini menggunakan kaedah pengurangan jarak sasaran sehingga kurang 30 peratus daripada jarak perlawanan sebenar ketika sesi latihan luar.
Sementara itu, Ketua Pasukan Memanah Tradisional Malaysia, Ahmad Harun menekankan bahawa program latihan secara berkala dan berterusan amat dititikberatkan pada masa ini bagi memastikan semua pemanah mencapai kemuncak prestasi menjelang hari kejohanan.
“Jadi sekarang ini kita dalam proses untuk latihan secara berkala dan berterusan untuk memastikan kita mencapai prestasi yang penuh semasa kejohanan nanti,” ujar beliau.
Sementara itu, pengurus pasukan,Dr Muhammad Akram Adnan berkata terdapat dua format utama yang bakal menguji kemampuan memanah skuad negara.
Format pertama ialah Teke Bute sejauh 40 meter yang melibatkan tiga formasi iaitu berdiri, duduk dengan satu lutut di atas, serta pukulan kilas belakang yang akan bermula pada 3 September. Manakala format kedua pula ialah Turkish Puta yang dijadualkan pada 4 September, melibatkan jarak 70 meter bagi kategori lelaki dan 60 meter bagi wanita.
Menariknya pada temasya kali ini, kesemua peserta negara diwajibkan menyarung busana tradisional sepanjang sesi latihan dan kejohanan berlangsung, bertujuan untuk mengangkat serta mempromosikan keunikan warisan tradisi negara di pentas global.
Selain memanah tradisional, kontinjen Malaysia turut mempersiapkan atlet bagi enam lagi acara sukan tambahan yang akan dipertandingkan di Kyrgyzstan, termasuklah sukan memanah berkuda.