Kapal rentas Selat Hormuz tanpa kebenaran akan diambil tindakan – Iran

Foto REUTERS

TEHRAN, 25 Jun – Pasukan Pengawal Revolusi Iran mengeluarkan amaran bahawa sebarang kapal komersial yang merentasi Selat Hormuz tanpa kebenaran bertulis daripada Tehran bakal berdepan tindakan keras.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menyatakan satu-satunya laluan dibenarkan ialah laluan yang diumumkan oleh Republik Islam Iran.
  • Iran menganggap pelanggaran garis panduan atau cubaan merentasi tanpa kebenaran sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan berbahaya.
  • Iran dan Oman mengkaji implikasi kos serta cadangan tol perkhidmatan maritim di Selat Hormuz.
  • Pentadbiran AS menolak sebarang kutipan tol; Marco Rubio menegaskan Washington tidak akan mengiktiraf pelaksanaan tol oleh Tehran.

Amaran berkenaan meningkatkan semula ketegangan geopolitik di laluan perdagangan tenaga terpenting dunia itu, ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih buntu dalam rundingan pascaperang mengenai cadangan pengenalan “tol perkhidmatan maritim” di selat berkenaan.

“Satu-satunya laluan yang dibenarkan untuk melintasi Selat Hormuz adalah laluan yang diumumkan oleh Republik Islam Iran,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh sayap tentera Iran tersebut pada Khamis.

Iran turut menegaskan bahawa sebarang pelanggaran garis panduan atau cubaan merentasi laluan air itu tanpa kebenaran adalah “sesuatu yang tidak boleh diterima dan berbahaya”.

Isu pemilikan dan hak pelayaran di Selat Hormuz iaitu laluan sempit sepanjang 30 kilometer yang memisahkan Iran dan negara-negara Teluk kembali menjadi titik pertikaian utama dalam rundingan damai antara Tehran dan Washington.

Sebelum ini, laluan strategik yang mengendalikan hampir 20 peratus bekalan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) global itu berada di bawah sekatan penuh oleh tentera Iran sepanjang tempoh perang.

Ketegangan terbaharu itu tercetus selepas Iran bersama Oman mengumumkan rancangan untuk mengkaji implikasi kos bagi perkhidmatan pentadbiran Selat Hormuz.

Bagaimanapun, cadangan kutipan tol berkenaan mendapat tentangan hebat daripada pentadbiran AS yang menganggap selat berkenaan sebagai laluan air antarabangsa yang bebas daripada sebarang bentuk caj komersial.

Meskipun memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani minggu lalu bagi menamatkan konflik bersenjata membenarkan kapal dagang melintas secara percuma untuk tempoh 60 hari, masa depan MoU berkenaan kini semakin samar.

Situasi dijangka terus meruncing selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam lawatannya ke negara-negara Teluk minggu ini, mengulangi pendirian tegas bahawa Washington sama sekali tidak akan mengiktiraf sebarang bentuk pelaksanaan tol atau oleh pihak Tehran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.