Malaysia mahu Majlis Halal ASEAN direalisasi September 2027

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) kelima / Foto BERNAMA

JAKARTA, 18 September – Malaysia mahu Majlis Halal ASEAN direalisasi pada September 2027 sebagai langkah memperkukuh penyelarasan industri halal serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelarasan serantau penting untuk atasi perbezaan piawaian, pensijilan dan akreditasi antara negara ASEAN.
  • Indonesia ditetapkan sebagai pengerusi Majlis Halal, Malaysia sebagai ketua sekretariat berbekal pengalaman luas dalam pengeluaran sijil halal.
  • Kekuatan lebih 250 juta pengguna halal memberi asas kukuh kepada ASEAN untuk menjadi kuasa utama dalam ekonomi halal global.
  • Cadangan telah dikemukakan kepada Sekretariat ASEAN dan akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN di Manila untuk pengesahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penyelarasan serantau penting bagi menangani perbezaan piawaian, pensijilan dan akreditasi antara negara ASEAN.

Menurutnya, idea penubuhan Majlis Halal ASEAN mula digerakkan Malaysia dan Indonesia tahun lalu dan kini perlu diterjemahkan kepada sebuah institusi yang berfungsi.

“Yang penting adalah koordinasi dan kita mahukan supaya usaha ini dijalankan dengan segera.

“Indonesia akan menjadi pengerusi kepada Majlis Halal ini dan ketua sekretariatnya adalah Malaysia kerana mempunyai pengalaman 52 tahun dalam pengeluaran sijil halal.

“Ini akan kita lakukan dalam kadar segera dari segi penyusunan program, tetapi pelancarannya akan dibuat pada September tahun hadapan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kekuatan lebih 250 juta pengguna halal di rantau itu memberi asas kukuh kepada ASEAN untuk muncul sebagai antara kuasa utama dalam ekonomi halal global.

Selain itu, beliau menyifatkan Majlis Halal ASEAN sebagai asas penting ke arah cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Halal Dunia.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal turut memaklumkan, cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN itu telah dikemukakan kepada Sekretariat ASEAN.

Ia kemudian akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN di Manila untuk pengesahan.

“Kita tidak boleh menunggu lebih lama lagi. Ekonomi halal bergerak dengan pantas dan pasaran tidak akan menunggu kita untuk menyusun segala urusan.

“Dalam tempoh ini, kita perlu menetapkan mandat, tadbir urus serta hasil kerja awal Majlis supaya ia bersedia untuk bertindak sebaik sahaja ditubuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia dan Indonesia menyasarkan penubuhan Majlis Halal bersama pada Disember ini bagi memperkukuh kerjasama antara pemain industri halal kedua-dua negara.

Cadangan itu akan diperincikan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Kuala Lumpur, akhir bulan ini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, langkah berkenaan perlu digerakkan segera supaya Kuala Lumpur dan Jakarta dapat memanfaatkan perkembangan pesat ekonomi halal global secara bersama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.