Laos hantar pulang 129 warga Thailand terlibat kes judi haram

Foto Reuters

NONG KHAI, 18 September – Laos menghantar pulang 129 warga Thailand yang dikaitkan dengan rangkaian perjudian dalam talian secara haram selepas mereka ditahan dalam operasi di Vientiane.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dituduh menjadi pentadbir 11 laman perjudian dalam talian, menerima gaji antara 15,000 hingga 21,000 baht sebulan.
  • Dua hotel di Vientiane disyaki menempatkan markas rangkaian perjudian haram.
  • Pemeriksaan awal tidak mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia dan tiada waran tangkap ditemui.
  • Operasi sebahagian tertumpu di Segi Tiga Emas, termasuk Zon Ekonomi Khas GTSEZ di Bokeo, menjadi tumpuan penguatkuasaan serantau.

Mereka didakwa bekerja sebagai pentadbir bagi 11 laman sesawang perjudian dalam talian dengan menerima gaji antara 15,000 hingga 21,000 baht sebulan.

Dua buah hotel di ibu negara Laos disyaki menempatkan markas rangkaian perjudian tersebut.

Kesemua 129 individu tersebut diserahkan kepada pegawai imigresen Thailand di Jambatan Persahabatan Thai-Laos Pertama di Nong Khai pada Khamis.

Pemeriksaan awal kemudian dilakukan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat individu yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia serta menyemak sama ada terdapat waran tangkap tertunggak atau sebaliknya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada sesiapa dikenal pasti sebagai mangsa pemerdagangan manusia pada peringkat awal dan tiada waran tangkap ditemukan.

Timbalan Superintendan Imigresen Nong Khai, Leftenan Kolonel Polis Teeyachapath Rungsibhrumanakul berkata, 15 daripada individu yang ditahan turut didakwa memasuki Laos melalui laluan sempadan haram.

“Seramai 14 daripadanya pernah dihantar pulang ke Thailand pada Mei lalu, tetapi kemudian memasuki semula Laos secara haram melalui laluan tikus di sempadan.

“Seorang lagi meninggalkan Thailand tanpa melalui pusat pemeriksaan imigresen, menjadikan jumlah keseluruhan 15 orang,” katanya.

Menurut beliau, kesemua 129 warga Thailand itu berdepan tindakan undang-undang kerana bekerja di luar negara tanpa mengikuti prosedur yang ditetapkan.

Seramai 15 individu yang memasuki Laos secara haram pula berdepan pertuduhan tambahan kerana meninggalkan Thailand tanpa melalui saluran sah.

Kes berkenaan berlaku ketika pihak berkuasa serantau terus memperhebat usaha membanteras rangkaian penipuan, perjudian dalam talian dan pemerdagangan manusia yang beroperasi merentasi Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar.

Sebahagian operasi itu dipercayai tertumpu di kawasan Segi Tiga Emas, yang merangkumi sempadan Thailand, Laos dan Myanmar di sekitar Sungai Mekong.

Di kawasan berkenaan terletak Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (GTSEZ) di wilayah Bokeo, Laos, yang sebelum ini turut menjadi perhatian agensi penguatkuasaan antarabangsa berhubung dakwaan kegiatan jenayah terancang.

Zon itu dikendalikan ahli perniagaan China, Zhao Wei, yang memperoleh pajakan selama 99 tahun pada 2007 untuk membangunkan kawasan berkenaan.

Zhao bagaimanapun menyifatkan pembangunan itu sebagai hab pelancongan dan ekonomi yang bertujuan menarik pelaburan serta meningkatkan pendapatan kepada Laos. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.