
KUALA LUMPUR, 18 September – Pengampunan diraja bukan sebahagian daripada proses rayuan mahkamah, sebaliknya merupakan instrumen perlembagaan yang memberi peluang kedua kepada pesalah yang telah melalui proses pengadilan di mahkamah.
- Kuasa prerogatif institusi beraja berasaskan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
- Instrumen perlembagaan mengimbangi hukuman tanpa menjejaskan kedaulatan undang-undang atau memadamkan sabitan secara sewenang-wenangnya.
- Lembaga Pengampunan menilai pendapat bertulis Peguam Negara, ulasan perundangan, fakta kes dan aspek teknikal sabitan.
- Pertimbangan meliputi kepentingan awam, kestabilan negara, rekod disiplin, laporan pemulihan, aspek kemanusiaan, keseriusan kes dan risiko keselamatan.
Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang Sivil, Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Shamshina Mohamad Hanifa berkata, kuasa berkenaan merupakan kuasa prerogatif atau budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertuan Negeri.
Asas perlembagaan bagi kuasa tersebut termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia adalah satu instrumen perlembagaan yang sah untuk mengimbangi hukuman tanpa menafikan kedaulatan undang-undang atau memadamkan sabitan mahkamah secara sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurut beliau, dalam mempertimbangkan sesuatu permohonan, Lembaga Pengampunan akan menilai beberapa faktor sebelum mengemukakan syor kepada Yang di-Pertuan Agong.
Antaranya, pendapat bertulis Peguam Negara yang meliputi ulasan perundangan, fakta kes serta aspek teknikal berkaitan sabitan pemohon.
Selain itu, kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang turut menjadi antara pertimbangan, termasuk kesan sesuatu pengampunan terhadap persepsi masyarakat dan kestabilan negara.
Faktor lain merangkumi rekod disiplin, kelakuan dan laporan pemulihan penjara, selain tempoh hukuman yang telah dijalani.
Turut dinilai aspek kemanusiaan dan kebajikan, termasuk tahap kesihatan serta situasi keluarga banduan.
Jenis kesalahan dan risiko keselamatan kepada orang awam atau mangsa jenayah juga antara perkara yang akan dipertimbangkan.
“Pengampunan diraja melindungi kepentingan awam dan kestabilan negara. Mekanisme ini membolehkan institusi beraja meneliti kes-kes yang mempunyai ruang teknikal atau isu kemanusiaan yang terlepas pandang semasa proses perbicaraan biasa,” jelasnya.