
BESUT, 24 Jun – Seorang bekas jurutera teknologi maklumat (IT) didenda RM18,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi membeli petrol bersubsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
- Tiga pertuduhan menggunakan MyKad orang lain untuk membeli petrol bersubsidi BUDI95.
- Kes berlaku di stesen minyak Alor Lintang (1 Jun) dan Kampung Raja (2 Jun dan 15 Jun).
- Mahkamah menjatuhkan denda RM6,000 atau enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan; pengadu membuat laporan polis selepas menyedari penyalahgunaan.
Aman Rasid, 39 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Aman didakwa menggunakan kad pengenalan milik individu lain di sebuah stesen minyak di Alor Lintang pada 1 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah stesen minyak di Kampung Raja, masing-masing pada hari berikutnya dan 15 Jun lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pemilik sebenar kad pengenalan berkenaan menyedari kuota bulanan BUDI95 miliknya digunakan tanpa kebenaran menerusi TNG eWallet, sedangkan dia tidak mempunyai aplikasi berkenaan.
Pengadu kemudian membuat laporan polis selepas mendapati kad pengenalannya disalah guna.