Konflik Asia Barat tekan ringgit, susut 2.1 peratus setakat 22 Jun

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ringgit mencatat penyusutan kecil sebanyak 2.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari awal tahun hingga 22 Jun lalu, susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran kewangan dan mata wang global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pergerakan ringgit terus dipengaruhi faktor luaran seperti perkembangan konflik Asia Barat dan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS
  • Nilai Kadar Pertukaran Efektif Nominal turut merosot, mencerminkan kelemahan relatif mata wang tempatan
  • Ringgit disokong asas ekonomi kukuh; pembaharuan struktur dan prestasi KDNK serta eksport menarik minat pelabur tempatan dan asing

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata Nilai Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) turut menurun sebanyak 1.6 peratus dalam tempoh sama.

Bagaimanapun, katanya, ringgit memulakan tahun ini dengan prestasi memberangsangkan apabila meningkat 4.3 peratus berbanding dolar AS dalam tempoh dua bulan pertama.

NEER turut meningkat sebanyak 3.2 peratus dalam tempoh berkenaan, mencerminkan pengukuhan mata wang tempatan berbanding mata wang rakan dagang utama negara.

“Pergerakan nilai ringgit akan terus dipengaruhi faktor luaran, termasuk hala tuju perkembangan konflik di Timur Tengah dan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat atau US Federal Reserve.

“Walau bagaimanapun, ringgit tetap disokong asas ekonomi yang kukuh dari segi perkembangan domestik,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurutnya, prestasi ringgit turut didorong komitmen kerajaan melaksana pembaharuan struktur bagi mengukuhkan asas ekonomi Malaysia yang mendapat sambutan baik dalam kalangan pelabur tempatan dan asing.

Prestasi ekonomi negara juga kekal mampan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, manakala kadar inflasi berada pada paras sederhana, iaitu 1.6 peratus.

Bagi keseluruhan tahun ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara empat hingga lima peratus, sementara kadar inflasi diunjurkan kekal terkawal dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus.

Eksport negara pada Mei lalu pula berkembang sebanyak 45.3 peratus, sekali gus mencatatkan prestasi bulanan terbaik dalam tempoh tiga tahun, manakala import meningkat 14.1 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.