Naikkan gaji bulanan rakyat sebelum laksana GST

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Liew Chin Tong, bercakap kepada media pada Persidangan Fokus Percukaian Pertengahan Tahun ACCA 2026 hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Cukai penggunaan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian utama kepada sistem percukaian negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mesti utamakan meningkatkan pendapatan rakyat supaya lebih ramai layak bayar cukai pendapatan.
  • Golongan berpendapatan rendah menanggung beban cukai yang lebih besar berbanding kemampuan mereka.
  • Gaji median negara sekitar RM3,000 menunjukkan sebahagian besar pekerja masih belum mencapai ambang cukai pendapatan.
  • Perbincangan bentuk dan kadar cukai penggunaan boleh diteliti semula apabila gaji median mencapai kira-kira RM4,000.

Sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Beliau menegaskan bahawa GST dan cukai lain sememangnya mempunyai peranan dalam sistem percukaian moden, namun ia tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian menyeluruh kepada cabaran fiskal negara.

“Pada pandangan saya, dalam masyarakat kita, cukai penggunaan masih akan kekal. Namun, kita tidak seharusnya melihatnya sebagai tonggak utama sistem percukaian negara.

“Fokus kita adalah untuk membina sebuah masyarakat yang lebih makmur, supaya lebih ramai rakyat mempunyai pendapatan yang mencukupi dan akhirnya mampu menjadi pembayar cukai,” katanya pada sesi perbincangan interaktif pada Persidangan Fokus Percukaian Pertengahan Tahun ACCA 2026 di sini hari ini.

Tambah beliau, golongan berpendapatan rendah menanggung beban cukai yang lebih besar berbanding pendapatan mereka.

“Sebagai contoh, katakan anda memperoleh pendapatan RM20,000 sebulan dan berbelanja RM2,000. Cukai yang anda bayar berbanding jumlah pendapatan anda adalah sangat kecil.

“Tetapi bagaimana pula dengan seseorang yang hanya memperoleh RM2,000 sebulan? Dia mungkin berbelanja RM2,500 untuk penggunaan, dan perkara itu boleh berlaku,” katanya lagi.

Jelas beliau, gaji median negara masih berada sekitar RM3,000 sebulan juga menunjukkan sebahagian besar pekerja sektor formal masih belum mencapai tahap pendapatan yang membolehkan mereka dikenakan cukai pendapatan.

Sejajar dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata perbincangan lebih serius mengenai pelaksanaan GST hanya wajar dilakukan apabila gaji median bulanan rakyat meningkat kepada sekitar RM4,000.

Katanya, perbincangan mengenai bentuk dan kadar cukai penggunaan yang sesuai boleh diteliti semula apabila lebih ramai rakyat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

“Sehingga itu, keutamaan kerajaan adalah menangani cabaran asas iaitu meningkatkan pendapatan rakyat supaya lebih ramai layak membayar cukai pendapatan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.