AI berupaya bantu peruncit kawal kos operasi

Foto hiasan janaan AI

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kecerdasan Buatan (AI) berupaya membantu sektor peruncitan mengawal tekanan kos, khususnya melibatkan tenaga kerja dan rantaian bekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI membantu analisis data untuk mengoptimumkan laluan penghantaran, pengurusan tenaga kerja dan penggunaan tenaga bagi mengurangkan pembaziran serta mengekalkan margin keuntungan.
  • Automasi berasaskan AI mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan mempercepat latihan juruwang, membuka peluang separuh masa untuk pelajar, ibu tunggal dan pesara.
  • Teknologi AI membantu peruncit kecil dalam pemasaran digital, penghasilan kandungan dan pengoptimuman laman sesawang untuk mengurangkan kos operasi.

Pengarah MYDIN, Malik Murad Ali berkata, teknologi itu dapat membantu peruncit membuat keputusan operasi dengan lebih tepat menerusi analisis data, termasuk menentukan laluan penghantaran yang lebih cekap, mengurus keperluan tenaga kerja serta mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi operasi harian.

Menurut beliau, penambahbaikan itu membolehkan peruncit mengurangkan pembaziran sumber dan menjimatkan perbelanjaan, sekali gus mempertahankan margin keuntungan tanpa memindahkan sepenuhnya tekanan kos kepada pelanggan.

“Peruncit sememangnya tidak mahu menaikkan harga. Jadi apa yang kami lakukan ialah mengoptimumkan operasi di belakang tabir melalui automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan kos operasi.

“Kami juga menggunakan lampu LED serta tenaga solar. Apabila kos dapat dikurangkan, margin dapat dipertahankan dan harga kepada pelanggan kekal sama,” katanya kepada pemberita selepas sesi meja bulat media Xilnex bertajuk Kesan AI Terhadap Margin Runcit dan Tekanan Kos.

Tambahnya, penggunaan teknologi juga mampu mempercepatkan latihan pekerja baharu, termasuk bagi jawatan juruwang, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pelajar, ibu tunggal dan golongan pesara yang mahu bekerja secara sambilan.

Pada masa sama, beliau berkata AI juga boleh membantu peruncit kecil dari segi pemasaran digital, penghasilan kandungan, pengoptimuman laman sesawang serta pengurangan kos operasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.