FDI Malaysia melonjak RM65.9 bilion pada 2025

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Malaysia merekodkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM65.9 bilion pada tahun 2025, meningkat 41.2 peratus daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Stok FDI meningkat kepada RM1.09 trilion pada akhir 2025, bersamaan 53.7 peratus daripada KDNK.
  • Perkhidmatan penerima utama aliran masuk bersih RM59.5 bilion; pembuatan jana pendapatan FDI tertinggi RM55.5 bilion.
  • Rantau Asia sumber FDI terbesar (RM73.2 bilion aliran masuk), dengan Singapura dan Hong Kong sebagai penyumbang utama.
  • DIA mencatat aliran keluar bersih RM12.4 bilion; Afrika destinasi utama (RM7.0 bilion); Asia catat pendapatan DIA tertinggi RM22.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu disokong suntikan ekuiti daripada pelabur asing serta aliran masuk dalam instrumen hutang.

”Kedudukan FDI terkumpul pula meningkat kepada RM1.09 trilion pada akhir tahun 2025, iaitu 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berbanding 51.4 peratus pada tahun 2024.

”Peningkatan ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pelaburan ke luar negeri (DIA) Malaysia merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM12.4 bilion pada tahun 2025; susut daripada RM35.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Susulan itu, DIA berjumlah RM589.3 bilion pada akhir tahun 2025 atau 29.1 peratus daripada KDNK; berkurangan daripada 32.2 peratus pada 2024.

”Pelaburan DIA menjana pulangan pendapatan sepanjang tahun tersebut, dengan syarikat asing yang beroperasi di Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM98.2 bilion, manakala perusahaan Malaysia di luar negara merekodkan pendapatan sebanyak RM39.9 bilion.

”Mengikut sektor, perkhidmatan merupakan penerima utama pada tahun 2025, merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM59.5 bilion, diikuti perlombongan dan pengkuarian berjumlah RM3.0 bilion dan pembuatan sebanyak RM2.6 bilion,” katanya.

Sementara itu, sektor Pembuatan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan FDI; menjana RM55.5 bilion.

Sehingga akhir tahun 2025, kedua-dua sektor Perkhidmatan dan Pembuatan mengekalkan kedudukan tertinggi dalam stok FDI di Malaysia dengan masing-masing bernilai RM596.7 bilion dan RM419.3 bilion.

”Rantau Asia kekal sebagai sumber utama FDI pada 2025, menyumbang sebanyak RM73.2 bilion dalam aliran masuk dan merangkumi pelaburan terkumpul FDI terbesar pada RM679.2 bilion.

”Singapura dan Hong Kong merupakan negara sumber utama bagi FDI, manakala Amerika Syarikat (AS) menjadi rantau utama dari segi pendapatan FDI sebanyak RM45.6 bilion, dengan AS sebagai pelabur utama.

Mengulas selanjutnya, Afrika merupakan destinasi utama bagi aliran DIA pada 2025, iaitu sebanyak RM7.0 bilion, dengan sebahagian besar pelaburan tertumpu dalam industri minyak dan gas.

Tambahnya, Asia mencatatkan pendapatan DIA tertinggi sebanyak RM22.8 bilion dan kekal sebagai rantau terbesar dari segi kedudukan dengan jumlah RM339.0 bilion pada akhir 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.