
PUTRAJAYA, 24 Jun – Kerjasama strategik antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Solidaridad sejak sedekad lalu, berjaya memperkukuh pembangunan pekebun kecil persendirian serta meningkatkan kemampanan industri sawit negara.
- Kerjasama menumpukan sokongan kepada pekebun kecil persendirian, meningkatkan keupayaan serta membantu pematuhan pensijilan kemampanan.
- Pegawai TUNAS dan Solidaridad memperkukuh amalan kemampanan, menambah baik rantaian bekalan serta memastikan pulangan lebih adil kepada pekebun kecil.
- Solidaridad bantu pekebun kecil faham dan capai piawaian MSPO, terutama pekebun berusia yang menghadapi cabaran dokumentasi.
- Kerjasama antara MPOB dan Solidaridad dianggap model terbaik antara NGO dan agensi kerajaan untuk memajukan sawit mampan serta perbaiki penerimaan global.
Pengerusi MPOB, Datuk Mohd Helmy Othman Basha berkata, kerjasama itu memberi tumpuan khusus kepada pekebun kecil persendirian yang merangkumi hampir 30 peratus sektor sawit negara.
Menurut beliau, berbeza dengan pekebun kecil tersusun seperti FELDA dan FELCRA yang mempunyai organisasi sokongan tersendiri, golongan pekebun kecil persendirian memerlukan bantuan berterusan bagi meningkatkan keupayaan serta memenuhi keperluan pensijilan kemampanan.
Sepanjang 10 tahun lalu, kerjasama antara MPOB dan Solidaridad telah membawa banyak kemajuan kepada industri dan khususnya kepada golongan pekebun kecil khususnya dalam aspek kemampanan, pengukuhan rantaian bekalan di samping memastikan pekebun kecil memperoleh manfaat yang lebih baik.
“Melalui kerjasama dengan Solidaridad, tumpuan lebih diberikan kepada pekebun kecil persendirian, khususnya dalam aspek kemampanan. MPOB sememangnya mempunyai pegawai TUNAS yang membantu dan membimbing mereka di lapangan, namun sokongan daripada organisasi seperti Solidaridad amat penting dalam memperkukuh usaha tersebut.
“Solidaridad merupakan antara rakan kerjasama terbaik MPOB kerana mereka benar-benar mengutamakan kepentingan pekebun kecil. Bersama pegawai TUNAS, mereka membantu memperkukuh amalan kemampanan, menambah baik rantaian bekalan serta memastikan pekebun kecil memperoleh pulangan yang lebih adil daripada hasil pengeluaran mereka”, katanya.
Beliau berkata, Solidaridad turut memainkan peranan penting membantu pekebun kecil memahami serta memenuhi keperluan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), khususnya dalam kalangan pekebun kecil berusia yang berdepan cabaran pematuhan dokumentasi dan prosedur pensijilan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Solidaridad Asia, Shatadru Chattopadhayay menyifatkan kerjasama dengan MPOB sebagai model terbaik kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan dalam memperjuangkan pembangunan industri sawit secara mampan.
Katanya, industri sawit bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan kemiskinan di Asia Tenggara, malah memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan jutaan penduduk di negara seperti India, China dan Pakistan.
“MSPO merupakan antara piawaian kemampanan terbaik di dunia, namun ia masih kurang difahami di peringkat antarabangsa.
“Oleh itu, kami akan terus bekerjasama dengan MPOB dan pihak berkepentingan lain bagi memperbetulkan salah tanggapan terhadap minyak sawit serta meningkatkan penerimaan terhadap pensijilan MSPO di pasaran global.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan pekebun kecil yang bergantung kepada pasaran eksport terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri sawit mampan.
Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Kerjasama MPOB dan Solidaridad yang bertemakan “10 Years of Partnership for Change That Matters” berlangsung di Putrajaya dengan kehadiran wakil kerajaan, kor diplomatik serta pemain industri sawit tempatan dan antarabangsa.