Asas makroekonomi Malaysia kekal teguh walaupun ringgit menyusut – BNM

Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Asas makroekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun ringgit mengalami penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang Jun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Asas makroekonomi kekal teguh, disokong prestasi perdagangan melebihi jangkaan dan kadar inflasi yang stabil.
  • Pergerakan ringgit dipengaruhi faktor luaran seperti jangkaan kadar faedah AS, lindung nilai dan pelarasan pegangan ekuiti oleh pelabur.
  • BNM memantau pasaran, memastikan ketertiban, dan mempergiat inisiatif seperti QRI serta libat urus dengan GLC dan GLIC untuk galakkan aliran masuk.

Menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM), pergerakan ringgit dan mata wang serantau kebelakangan ini terus dipengaruhi oleh faktor luaran.

Faktor itu termasuk jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi di AS berikutan risiko inflasi yang masih meningkat.

FMC dalam kenyataan berkata, meskipun ketidaktentuan geopolitik semakin berkurangan selepas perjanjian damai sementara dimeterai antara AS dan Iran, pasaran kewangan global masih memberi tumpuan kepada hala tuju dasar monetari AS.

Bagaimanapun, kedudukan ekonomi Malaysia kekal teguh, seperti diterjemahkan menerusi beberapa petunjuk positif termasuk prestasi perdagangan yang melebihi jangkaan serta kadar inflasi yang stabil.

“Walaupun aliran keluar pelabur bukan pemastautin (NR) direkodkan, perkembangan itu dilihat sebagai pelarasan dalam peruntukan portfolio selepas prestasi kukuh ringgit pada awal tahun.

“Tumpuan kini beralih kepada pilihan raya negeri dengan pelabur bukan pemastautin dilihat mengambil pendirian berkecuali dalam penempatan portfolio mereka.

”Justeru ringgit mengalami pembetulan pasaran pada Jun dan menyusut berbanding dolar AS, yang didorong peningkatan aktiviti lindung nilai ekoran pengukuhan dolar AS,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, ia turut disumbangkan pelarasan semula pegangan ekuiti oleh pelabur selepas semakan indeks MSCI yang menyaksikan enam saham Malaysia dikeluarkan daripada indeks berkenaan.

FMC mendapati pasaran pertukaran asing (FX) domestik keka baik dengan purata dagangan harian meningkat kepada AS$21.3 bilion tahun ini berbanding AS$19.8 bilion pada 2025, disokong aliran dua hala yang seimbang.

Aktiviti pertukaran asing korporat juga kekal konsisten dengan jangkaan pasaran.

”Prestasi ringgit pada masa hadapan dijangka terus dipengaruhi perkembangan luaran dan faktor domestik, namun kekuatan asas ekonomi Malaysia akan terus menjadi faktor sokongan kepada mata wang negara,” jelasnya.

FMC BNM yang mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan ringgit pada Selasa lalu, turut mengulangi komitmennya untuk memantau rapat perkembangan pasaran kewangan dan memastikan keadaan pasaran kekal teratur.

BNM juga akan mempergiat langkah sedia ada bagi menggalakkan aliran masuk dana, termasuk menerusi Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (QRI).

Selain itu, bank pusat akan meneruskan libat urus dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta sektor korporat bagi menggalakkan penghantaran pulang dan penukaran pendapatan luar negara kepada ringgit.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.