Belanjawan 2027: Kerajaan disaran perhalusi had pendapatan M40 bagi STR, SARA

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 September – Kerajaan disaran memperhalusi kriteria kelayakan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertimbangkan peningkatan had pendapatan bagi isi rumah M40 berpendapatan RM5,000 ke atas yang mempunyai tanggungan ramai.
  • MCMC perlu turun padang membantu pendaftaran dan kemas kini maklumat golongan rentan bagi mengatasi isu keciciran.
  • Penerima digalakkan sentiasa mengemas kini MyKasih dan membuat e-Rayuan supaya pengagihan STR dan SARA lebih saksama.

Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat, Dr. Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata, ini termasuk mengambil kira golongan M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, terutamanya golongan yang mempunyai bilangan tanggungan isi rumah yang ramai.

“Golongan M40 yang berpendapatan RM5,000 juga sebenarnya turut terkesan. Justeru, bagi Belanjawan 2027, kita berharap kerajaan dapat memperhalusi kriteria kelayakan dengan mempertimbangkan peningkatan had pendapatan bagi isi rumah berpendapatan RM5,000 ke atas yang mempunyai tanggungan yang ramai. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Kompleks Penyiaran Angkasapuri Kota Media, di sini.

Mengulas mengenai isu keciciran penerima bantuan yang layak, Dr. Juliana menyuarakan pandangan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turun padang membantu golongan rentan yang mempunyai kekangan untuk mengemas kini maklumat atau membuat permohonan secara dalam talian.

“MCMC perlu memainkan peranan dengan turun ke setiap kawasan DUN dan Parlimen bagi membantu pendaftaran serta kemas kini maklumat golongan yang menghadapi kesukaran. Ini termasuklah keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) supaya isu keciciran ini dapat ditangani dan mereka turut menikmati manfaat yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai peningkatan peruntukan STR dan SARA daripada RM9 bilion dalam Belanjawan 2025 kepada RM22 bilion bagi Belanjawan 2026, yang jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menyarankan agar penerima sedia ada sentiasa mengemas kini maklumat dalam pangkalan data MyKasih serta membuat e-Rayuan sekiranya tidak tersenarai, bagi memastikan pengagihan bantuan lebih saksama dan tepat sasaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.