
TORONTO, 24 Jun – Jaringan tunggal Ante Budimir pada babak kedua memastikan Croatia menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Panama dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia di Stadium Toronto, pada Selasa.
- Kedua-dua pasukan wajib menang selepas England seri dengan Ghana, menjadikan pertemuan ini penting bagi kedudukan kumpulan.
- Panama beraksi bertahan disiplin, gunakan serangan balas sayap oleh Rodriguez dan Murillo tetapi gagal menukar peluang kepada gol.
- Kemenangan memberi Croatia tonik menjelang aksi terakhir lawan Ghana; Panama tersingkir namun masih buru kemenangan sulung menentang England.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi wajib menang selepas sekadar menyaksikan keputusan seri 0-0 antara England dan Ghana dalam satu lagi aksi kumpulan yang berlangsung lebih awal.
Aksi di Stadium Toronto diceriakan dengan kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan yang memenuhi stadium sebelum perlawanan bermula.
Panama mempamerkan aksi disiplin bertahan yang sangat tinggi pada babak pertama dan kerap mencemaskan kubu Croatia menerusi serangan balas pantas di bahagian sayap yang digerakkan oleh Jose Luis Rodriguez dan Amir Murillo.
Bagaimanapun, wakil Amerika tengah itu gagal menemui sentuhan penyudah.
Bersambung babak kedua, kekebalan benteng pertahanan Panama lebur menerusi satu gerakan cantik Croatia.
Bermula daripada hantaran lintang oleh Josip Stanisic, Budmir kemudiannya menyambar hantaran dan menyudahkannya bagi gol tunggal perlawanan.
Gol tersebut menceriakan penyokong Croatia dan meningkatkan semangat para pemain pasukan berkenaan bagi menambahkan gol.
Hasilnya, Pasalic berpeluang menambah gol kedua perlawanan menerusi situasi satu lawan satu.
Namun percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Panama, Orlando Mosquera, sebelum rembatan susulannya melambung tinggi.
Kemenangan berkenaan meletakkan Croatia di tangga ketiga kumpulan L sekali gus memberikan tonik terbaik menjelang aksi terakhir menentang Ghana yang berkongsi empat mata bersama England.
Manakala kekalahan kepada Croatia menjadikan Panama sebagai pasukan kelima yang tersingkir daripada edisi Piala Dunia kali ini.
Meskipun sah tersingkir, perlawanan terakhir menentang pendahulu kumpulan, England, Sabtu ini tetap penting buat Panama dalam memburu kemenangan sulung dalam sejarah penampilan di pentas Piala Dunia. – REUTERS