
FOXBOROUGH, 24 Jun – Pengurus England, Thomas Tuchel, mengakui ketumpulan jentera serangan pasukan itu menyebabkan perlawanan menentang Ghana berakhir dengan seri 0-0.
- England menguasai 79% penguasaan bola dan melakukan 19 percubaan, tetapi hanya tiga tepat sasaran.
- Peluang lewat oleh Nico O'Reilly terkena palang; Harry Kane gagal menyempurnakan rembatan, menonjolkan ketidakmampuan pasukan menumpaskan pertahanan lawan.
- England kini mengumpul empat mata; kemenangan ke atas Panama akan mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir sebagai juara kumpulan.
Namun, beliau menegaskan terdapat banyak petanda positif buat pasukan tersebut untuk melangkah lebih jauh dalam misi memenangi Piala Dunia.
“Ia adalah kejohanan yang panjang dan saya rasa pemain telah mencuba segalanya. Mereka beraksi dengan baik,” kata Tuchel selepas keputusan seri di Stadium Gillette disini.
“Kami sentiasa cuba menghiburkan peminat kami. Hari ini memang sukar tetapi saya harap peminat tidak hilang kepercayaan.
“Perjalanan masih jauh. Saya rasa telahan saya betul bahawa kami berada dalam kumpulan yang sangat sukar,” ujarnya.
Pada perlawanan berkenaan, England menguasai 79 peratus penguasaan bola tetapi gagal meruntuhkan kekentalan pertahanan Ghana dalam aksi Kumpulan L itu.
Mereka juga kehilangan sentuhan penyudah berbisa seperti yang dipamerkan ketika menang menentang Croatia di Dallas.
England melakukan 19 percubaan ke arah gol tetapi hanya tiga yang tepat ke sasaran.
Percubaan pemain Manchester City, Nico O’Reilly, terkena palang gol pada lewat permainan selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian, sebelum Harry Kane merembat tinggi bola muntah tersebut, sekali gus meneruskan hari yang mengecewakan buat England.
“Bola itu jatuh kepadanya dan 99 daripada 100 peluang sebegitu pasti akan disempurnakannya.
” Jika dia menjaringkan gol tersebut, mungkin sekarang kita sedang bercakap tentang kesabaran, disiplin, dan persembahan pasukan,” tambah Tuchel.
“Tetapi sekarang keputusannya 0-0 dan mungkin tajuk utama berita akan sedikit berbeza. Kami mempunyai situasi bola mati yang mencukupi untuk memenangi perlawanan tetapi kami tidak cukup tajam”, jelasnya.
Pengendali dari Jerman itu berkata adalah “perkara biasa” untuk bergantung kepada Kane, yang gagal menambah koleksi dua golnya ketika menentang Croatia sekali gus mengatasi rekod Gary Lineker selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman England di Piala Dunia.
Tuchel turut mengakui perlawanan itu disifatkannya sebagai “berpijak di bumi nyata”.
England kini mengumpul empat mata daripada dua perlawanan, dan kemenangan menentang Panama pada Sabtu ini akan mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir sebagai juara kumpulan. – AFP