Pengendali Mexico tuntut kesungguhan pemain

Pengendali Mexico, Javier Aguirre tuntut kesungguhan pemain menjelang perlawanan terakhir menentang Repulik Czech /REUTERS

MEXICO CITY, 24 Jun – Pengendali Mexico, Javier Aguirre, mengakui masih tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya di sebalik kejayaan ‘El Tri’ mengesahkan status selaku juara Kumpulan A dan slot pusingan kalah mati Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aguirre tuntut aksi hampir sempurna dan konsistensi 90 minit, kesal dengan kesilapan benteng pertahanan.
  • Rancang penggiliran barisan utama untuk merehatkan tonggak sambil kekalkan disiplin menghadapi saingan lebih fizikal.
  • Tiada ruang untuk sentimental; pemilihan pemain berdasarkan merit dan prestasi semasa sahaja.

Meskipun berjaya mencatat rekod bersih tanpa kalah dalam dua perlawanan awal, Aguirre tetap menuntut aksi yang ‘sempurna’ menjelang perlawanan terakhir menentang Republik Czech.

Tuan rumah bersama itu melangkah ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan mengumpul enam mata maksimum hasil kemenangan ke atas Afrika Selatan dan Korea Selatan tanpa melepaskan sebarang gol.

Kejayaan itu sekali gus memenuhi misi pasukan itu untuk mengelak perjalanan jauh dan memastikan mereka kekal beraksi di hadapan penyokong sendiri di ibu negara bagi fasa kalah mati.

Bagaimanapun, rekod cemerlang tersebut masih belum mampu memikat hati jurulatih berusia 67 tahun itu.

“Kami tidak bermain dengan baik dalam perlawanan yang kami menangi, saya tidak berpuas hati sepenuhnya,” akui Aguirre sambil menggariskan kepada beberapa kesilapan di benteng pertahanan dan ketiadaan konsistensi sepanjang 90 minit permainan.

“Apabila kami bermain dengan baik, kami kehilangan kesinambungan… fokus saya untuk perlawanan seterusnya adalah untuk melihat sama ada kami mampu mengekalkan rentak dalam perlawanan yang hampir sempurna selama 90 minit”, ujarnya.

Menjelang pertemuan menentang Republik Czech, Aguirre memberi bayangan akan melakukan penggiliran dalam kesebelasan utamanya demi merehatkan beberapa pemain tonggak.

Namun, beliau mengingatkan barisan pemain yang bakal diturunkan agar mengekalkan disiplin yang tinggi bagi mengekang asakan skuad Czech yang sememangnya diketahui memiliki kelebihan dari segi fizikal dan ketinggian.

“Perkara pertama yang perlu kami lakukan adalah tidak melakukan kekasaran yang tidak perlu,” tambah beliau.

Sementara itu, kejayaan melayakkan diri ke pusingan kalah mati telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan media Mexico mengenai peluang penjaga gol veteran, Guillermo Ochoa untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama selain sebagai penghormatan kepada penampilan keenamnya di pentas Piala Dunia.

Bagaimanapun, Aguirre menolak spekulasi tersebut dan menegaskan tiada ruang untuk faktor sentimental dalam pasukannya kerana setiap pemilihan adalah berdasarkan merit dan prestasi semasa semata-mata. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.