
KAZAN, 18 Jun – Malaysia akan meneliti semula beberapa dasar dan prosedur sedia ada bagi memudahkan kemasukan lebih ramai pelancong Rusia ke negara ini.
- Hubungan baik dengan Rusia harus diterjemahkan kepada peningkatan pelancong dan kerjasama ekonomi.
- Isu utama ialah penerbangan dan kaedah pembayaran yang menyukarkan kedatangan pelancong Rusia.
- Malaysia perlu pendekatan pragmatik selaras dasar berkecuali, tanpa terikat kepada sekatan unilateral pihak tertentu.
- Isu penerbangan dan pembayaran akan dibawa ke Kabinet; keputusan penting dijangka dimuktamadkan dalam beberapa minggu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik antara kedua-dua negara seharusnya diterjemahkan kepada peningkatan jumlah pelancong dan kerjasama ekonomi yang lebih besar.
“Turkiye menerima lima juta pelancong setiap tahun, manakala Thailand menerima dua juta pelancong. Kedua-duanya merupakan negara yang hampir dengan kita. Namun, mengapa hanya 100,000 datang ke Malaysia?
“Isunya ialah penerbangan dan kaedah pembayaran yang menyukarkan urusan pelancong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia.
Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia tidak seharusnya terus terperangkap dengan prosedur lama dan terlalu bimbang dengan sekatan unilateral yang dikenakan oleh sesetengah negara sehingga menjejaskan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan.
Beliau berkata, Turkiye yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Thailand masih mampu mengekalkan hubungan baik dengan Rusia dan menikmati kemasukan jutaan pelancong setiap tahun.
Katanya, Malaysia juga perlu mengambil pendekatan yang lebih pragmatik selaras dengan pendirian negara yang bebas dan berkecuali.
Tambah beliau, Malaysia tetap menghormati undang-undang dan sekatan antarabangsa yang dipersetujui bersama, namun tidak sepatutnya terlalu terikat dengan sekatan yang dikenakan secara unilateral oleh pihak tertentu.
Perdana Menteri berkata, isu penerbangan dan kaedah pembayaran antara Malaysia dan Rusia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang bagi membolehkan penyelesaian segera dicapai.
Beliau menjangkakan beberapa keputusan penting dapat dimuktamadkan dalam tempoh beberapa minggu.
“Kita merupakan sebuah negara yang berdaulat dan sentiasa menegaskan kepentingan prinsip pemusatan ASEAN (ASEAN centrality).Sudah tentu kita memahami sensitiviti yang wujud.
“Kita tidak akan melanggar apa yang telah ditetapkan atau dipersetujui, termasuk peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Sudah tentu kita menghormatinya.
“Sekiranya melibatkan sekatan antarabangsa yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sudah tentu kita akan mematuhinya. Namun, kita tidak seharusnya terlalu bimbang terhadap sekatan unilateral yang dikenakan oleh sesetengah negara,” katanya.