Malaysia peroleh jaminan bekalan minyak, gas dari Rusia untuk jangka panjang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KAZAN, 18 Jun – Malaysia memperoleh jaminan bekalan petrol, minyak dan gas dari Rusia dalam jangka panjang, sekali gus memperkukuh keterjaminan tenaga negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persetujuan prinsip telah dicapai; perjanjian berkaitan akan dimeterai dalam masa terdekat.
  • Malaysia mesti lebih berani dan agresif memanfaatkan hubungan antarabangsa demi kepentingan ekonomi negara.
  • Hubungan baik dengan Rusia perlu diterjemahkan kepada manfaat lebih besar untuk rakyat, khususnya dalam tenaga dan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan prinsip telah dicapai dan perjanjian berkaitan akan dimeterai dalam masa terdekat.

“Di Rusia ini berita yang baik, sebab Rusia memberi jaminan bekalan petrol, minyak, gas kepada Malaysia. Bukan itu, sahaja, Rusia bersetuju untuk memberi dalam jangka panjang, maknanya Rakyat Malaysia itu dapat jaminan, tidak terpaksa bergantung setiap tahun atau tiap musim, tetapi ada persediaan untuk mengadakan perjanjian jangka panjang”, katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan Malaysia perlu lebih berani dan agresif dalam memanfaatkan hubungan antarabangsa demi kepentingan ekonomi negara.

Menurut beliau, negara tidak boleh terus terikat dengan pendekatan lama yang terlalu berhati-hati sehingga menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam merebut peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik.

Beliau berkata, hubungan baik dengan Rusia perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar kepada rakyat, khususnya dalam aspek tenaga dan ekonomi.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.