Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan sentimen pasaran berhati-hati selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) cenderung kepada kadar faedah tinggi mendorong kenaikan hasil Perbendaharaan AS.

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks Dolar AS naik 0.85% kepada 100.382 mata selepas FOMC memberi petunjuk dasar monetari lebih ketat.
  • Hasil bon Perbendaharaan AS dua tahun meningkat 13 mata asas kepada 4.18 peratus.
  • Minyak mentah turun selepas laporan perjanjian sementara AS-Iran; WTI AS$76.06 dan Brent AS$79.55 setong.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0730/0820 berbanding dolar AS daripada 4.0665/0700 semasa ditutup pada Selasa. Pasaran ditutup pada Rabu bersempena dengan cuti umum Awal Muharram.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.85 peratus kepada 100.382 mata selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) memberi petunjuk prospek dasar monetari yang lebih ketat pada masa depan.

“Berdasarkan unjuran suku tahunannya yang terkini, Fed dijangka menaikkan Kadar Dana Persekutuan sebanyak 25 mata asas pada tahun ini manakala kenyataan ringkas FOMC menekankan bahawa kestabilan harga terus menjadi keutamaan mereka.

“Hasil bon Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun meningkat sebanyak 13 mata asas kepada 4.18 peratus. Sehubungan itu, ringgit dijangka terus diniagakan berhati-hati hari ini berikutan dolar AS dijangka disokong oleh keputusan terbaharu Fed,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata laporan mengenai perjanjian sementara antara AS dan Iran untuk menamatkan konflik dan seterusnya membuka semula Selat Hormuz telah membawa kepada penurunan harga minyak mentah.

“Minyak mentah WTI dan Brent, kini masing-masing diniagakan pada AS$76.06 dan AS$79.55 setong.

“Walaupun harga minyak yang rendah boleh memberi sokongan kepada sentimen pasaran yang lebih luas, pendirian Fed itu akan terus menjadi pemacu utama pasaran,” katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia diniagakan hampir mendatar berbanding yen Jepun kepada 2.5360/5417 daripada 2.5360/5384 semasa ditutup pada Selasa, meningkat berbanding pound kepada 5.4175/4295 daripada 5.4552/4599 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6868/6972 daripada 4.7175/7216.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.4518/4870 daripada 12.5027/5192 semasa ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1623/1695 daripada 3.1722/1752.

Bagaimanapun, mata wang tempatan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 229.3/229.9 daripada 229.3/229.7 dan berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.76 daripada 6.74/6.75 sebelum ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.