Pemansuhan caj RM1 ATM, pengguna lega

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) bermula 1 Julai disambut baik oleh pengguna yang menyifatkan inisiatif itu memberi manfaat kepada jutaan pengguna perbankan serta memperkukuh keterangkuman kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghapuskan caj tambahan, memberi manfaat kepada pengguna luar bandar, warga emas dan mereka dengan akses ATM terhad.
  • Pengguna merasa lega; penjimatan kecil tetapi signifikan, meningkatkan fleksibiliti dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.
  • FOMCA dan pakar menggesa pengecualian dijadikan dasar kekal serta bank nilai semula caj perkhidmatan lain.

Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan keputusan tersebut sebagai kemenangan besar kepada pengguna dan berharap pengecualian itu akan dijadikan dasar kekal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr T. Saravanan berkata pemansuhan caj itu menyingkirkan kos tidak perlu yang dikenakan kepada pengguna ketika mengakses wang sendiri.

Beliau berkata pengecualian itu akan memberi manfaat khususnya kepada pengguna di kawasan luar bandar dan separa bandar, warga emas serta mereka yang mempunyai akses terhad kepada rangkaian ATM bank sendiri.

“Perkhidmatan perbankan asas perlu mampu milik, mudah dan inklusif untuk semua pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, pegawai pentadbiran Kementerian Kesihatan, Nurul Aisyah Mohd Noor, 34, berkata walaupun caj tersebut kelihatan kecil, penjimatan itu memberi kesan besar kepada pengguna yang kerap menggunakan ATM di luar rangkaian bank masing-masing.

“Tidak semua orang mempunyai akses mudah kepada ATM bank sendiri, terutama ketika dalam perjalanan atau semasa kecemasan. Pemansuhan caj ini memberi lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada pengguna,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan pemahaman lebih baik terhadap keperluan pengguna, khususnya ketika isi rumah berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat. Beliau turut berharap bank akan terus menilai semula caj perkhidmatan lain bagi memastikan perkhidmatan perbankan asas kekal mampu milik dan mudah diakses semua rakyat Malaysia.

Eksekutif jualan, Lim Wei Jian, 38, turut menyambut baik keputusan tersebut dengan menyatakan ia memberi manfaat kepada pengguna yang sering menggunakan ATM bank lain berhampiran tempat kerja.

“Gaji saya dimasukkan ke dalam satu bank, tetapi ATM terdekat di pejabat adalah milik bank lain. Sebelum ini saya berfikir dua kali sebelum membuat pengeluaran kerana caj tambahan. Dengan penghapusan caj ini, ia lebih mudah dan menjimatkan,” katanya.

Sementara itu, juruteknik, R. Karthikeyan, 42, berkata pengecualian caj itu amat membantu penduduk di kawasan pinggir bandar yang mempunyai pilihan ATM terhad.

“ATM paling dekat dengan rumah saya bukan milik bank saya, jadi saya biasanya terpaksa membayar caj RM1 apabila perlu mengeluarkan wang secara segera. Nampak kecil, tetapi lama-kelamaan ia bertambah. Ini langkah yang positif untuk pengguna biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng menyifatkan penghapusan caj RM1 itu sebagai langkah positif yang memberi manfaat kepada pengguna serta membantu mengurangkan kos sara hidup.

Beliau berkata langkah tersebut turut memberi isyarat positif kepada orang ramai serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan ATM dengan lebih meluas.

“Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan kaunter, sekali gus meningkatkan kecekapan perbankan dan keselesaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata langkah itu menunjukkan bagaimana penjimatan kecil mampu memberi manfaat besar secara kolektif kepada jutaan pelanggan perbankan di seluruh negara.

Menurut persatuan institusi perbankan, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai tanpa caj tambahan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.