
PUTRAJAYA, 15 Jun – Komitmen pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam perniagaan bumiputera ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi tahun 2026 berbanding RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya.
- Komitmen menerusi inisiatif Larian Ganti Bumiputera luaskan akses pembiayaan dan pelaburan kepada usahawan bumiputera pada semua peringkat.
- PuTERA35 capai 64.6 peratus; 160 daripada 493 program berjaya dilaksanakan, mencerminkan hasil usaha pembangunan bumiputera.
- TERAJU dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri untuk memperkukuh pemantauan dan pemantapan program pembangunan bumiputera.
- Khazanah lancarkan Dana Ciptawan berperuntukan RM200 juta untuk menyokong syarikat bumiputera peringkat pertengahan dan pengembangan pasaran.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen ini termasuklah menerusi inisiatif Larian Ganti Bumiputera yang bertujuan memperluas akses pembiayaan dan pelaburan kepada usahawan bumiputera pada setiap peringkat pertumbuhan.
“Bagi tujuan memantapkan pemantauan program pembangunan bumiputera, khususnya inisiatif di bawah PuTERA35, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang kini dipantau Kementerian Ekonomi, dipindahkan menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Perkara ini dipersetujui (dalam) Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 2 Tahun 2026 hari ini,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat itu.
Beliau berkata langkah tersebut merupakan kesinambungan kepada usaha pemerkasaan institusi bumiputera yang telah dimulakan melalui pemusatan Pelaburan Hartanah Bumiputera dan Ekuiti Nasional Bhd di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra.
“Sehingga kini, pencapaian keseluruhan PuTERA35 telah mencecah 64.6 peratus dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan.

“Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda pembangunan bumiputera diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” kata beliau.
Datuk Seri Anwar menjelaskan, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah membelanjakan sebanyak RM49.2 bilion pada tahun lepas, khususnya melalui perolehan daripada vendor dan pembekal bumiputera.
Khazanah Nasional Bhd pula akan melancarkan Dana Ciptawan dengan peruntukan RM200 juta bagi menyokong syarikat bumiputera peringkat pertengahan, sekali gus memperkukuh keupayaan mereka untuk berkembang, bersaing dan menembusi pasaran yang lebih luas.
“Mesyuarat turut meneliti resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang berlangsung pada 1 Mei lepas apabila penelitian lanjut akan dibuat terhadap beberapa cadangan strategik.
“Ini termasuk penubuhan Majlis Tahfiz Negara agar usaha memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” kata beliau