16 pendaki alami hipotermia, cedera ketika mendaki Gunung Bawakaraeng

Kesemua pendaki itu melakukan pendakian bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-81

JAKARTA, 17 Ogos – Seramai 16 pendaki dipindahkan dari Gunung Bawakaraeng di Sulawesi Selatan selepas mengalami hipotermia, kecederaan dan keletihan teruk ketika melakukan pendakian sempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-81.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hipotermia, kecederaan kaki dan keletihan fizikal akibat cuaca sejuk melampau menjejaskan pendaki.
  • Pasukan SAR memantau empat laluan dan mengerahkan anggota, sukarelawan serta pasukan perubatan untuk bantuan kecemasan.
  • Pendaki diingatkan utamakan keselamatan, pantau kondisi fizikal, jangan paksa diri dan bawa kelengkapan mencukupi untuk cuaca sejuk.

Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Makassar Muhammad Arif Anwar berkata operasi pemindahan dilaksanakan secara berperingkat setakat Isnin malam.

“Kebanyakan (yang dipindahkan) mengalami gejala hipotermia akibat cuaca sejuk ekstrem, kecederaan kaki dan keletihan fizikal yang teruk,” katanya seperti dipetik agensi berita Antara.

Beliau berkata daripada 16 pendaki yang terjejas, lapan telah dipindahkan setakat pagi Isnin dan berada dalam keadaan baik selepas dibawa ke pos pendaftaran Bulu Balea.

Arif berkata pasukan SAR memantau pergerakan pendaki di sepanjang empat laluan menuju ke dan dari puncak.

Seramai 3,786 pendaki mendaftar untuk mendaki gunung setinggi 2,830 meter itu di Kabupaten Gowa bagi menyertai upacara menaikkan bendera.

Seramai 295 anggota daripada Basarnas, komuniti SAR, sukarelawan dan pasukan perubatan dikerahkan dalam operasi siap siaga dari 15 hingga 18 Ogos untuk memantau pendaki serta memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan.

Operasi sama semasa sambutan Hari Kemerdekaan tahun lepas menyaksikan 65 pendaki dipindahkan, kebanyakannya selepas mengalami hipotermia, manakala seorang pendaki meninggal dunia akibat hipotermia teruk, menurut Antara.

Arif menggesa pendaki supaya mengutamakan keselamatan, memantau keadaan fizikal dan tidak memaksa diri untuk sampai ke puncak, selain membawa kelengkapan yang mencukupi untuk melindungi diri daripada cuaca sejuk. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.