
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan rangkaian penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerusi Op Taring Alpha 1 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM1.66 juta.
- Serbuan di Desa Petaling dan Putra Heights menumpaskan rangkaian penyimpanan serta pengedaran rokok tidak bercukai.
- Rampasan keseluruhan 2,115 karton rokok pelbagai jenama, dua kenderaan dan lima telefon bimbit.
- Dua suspek ditahan, berumur 30 dan 19 tahun, disyaki penghantar dan ditahan bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
- Sejak Op Taring Alpha 1, 13 kes dan 17 tangkapan direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM9.61 juta.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas, Bahagian Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata operasi berasaskan risikan dijalankan pada Isnin antara 12 tengah hari hingga 1.30 petang.
“Serbuan pertama di Desa Petaling telah menahan seorang lelaki tempatan dipercayai sebagai penghantar rokok dan penjaga stor.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 553 karton rokok yang disyaki tidak bercukai kastam. Sebuah kenderaan dan dua unit telefon bimbit turut disita,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, hasil soal siasat suspek berusia 30 tahun itu turut berjaya membongkar sebuah lagi premis di Putra Heights yang digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara dengan sebanyak 1,190 karton rokok ditemukan di premis terbabit.
Sementara itu, serbuan ketiga pula turut dilakukan sekitar Desa Petaling yang membawa penahanan kepada seorang lagi suspek berusia 19 tahun disyaki sebagai penghantar rokok.
“Sebanyak 372 karton rokok ditemukan bersama sebuah kenderaan serta tiga unit telefon bimbit,” katanya lagi.
Hasil ketiga-tiga serbuan itu, PDRM berjaya merampas sebanyak 2,115 karton rokok pelbagai jenama, dua buah kenderaan dan lima unit telefon bimbit.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai sebagai penghantar rokok dengan masing-masing sudah terbabit dalam kegiatan itu selama enam dan sembilan bulan.
Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sejak Op Taring Alpha 1 dilaksanakan, sebanyak 13 kes dengan 17 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM9.61 juta direkodkan, setakat ini.
Datuk Mohd Zaki menegaskan risikan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta pengedaran barangan tidak bercukai yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara dan menyumbang kepada perkembangan jenayah terancang.