SUKMA 2026: Sayyid Amin sedia cabar Umar Osman selepas sambar emas 400m

Foto FB SUKMA Selangor 2026

SERDANG, 17 Ogos – Pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan memberi isyarat awal sedia menjadi pencabar baharu dalam acara 400 meter (m) lelaki selepas merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menang emas acara 400m dengan catatan 47.20s, menewaskan wakil Selangor Muhammad Daniel (47.61s) dan Muhammad Farhan (47.66s).
  • Baru pulih daripada kecederaan hamstring kedua-dua paha; kemenangan dan rekod peribadi mengejutkan beliau.
  • Berhasrat mengikut jejak Umar Osman, menjadikan rekod kebangsaan 45.73s sebagai penanda aras untuk terus memperbaiki diri.

Dalam aksi final di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Sayyid Amin mencatatkan masa 47.20 saat (s) untuk mengatasi atlet Selangor, Muhammad Daniel Haqie yang meraih perak (47.61s), manakala seorang lagi wakil tuan rumah, Muhammad Farhan Mohd Isrulnizam membawa pulang gangsa (47.66s).

Kejayaan Muhammad Sayyid meraih emas serta memperbaharu rekod peribadi itu di luar jangkaan susulan beliau baru sahaja pulih daripada kecederaan otot paha (hamstring) pada kedua-dua belah kakinya.

“Ini adalah satu cabaran yang sangat baik untuk saya memandangkan tiga bulan lalu saya mengalami kecederaan pada kedua-dua paha dan baru sahaja kembali ke trek minggu lepas.

“Keputusan ini sangat mengejutkan saya,” katanya ketika ditemui media.

Mengulas keputusan memilih untuk beraksi dalam acara 400m berbanding 200m, Sayyid Amin menjelaskan pilihan itu dibuat berdasarkan tahap kesihatan dan persediaan ketika ini.

“Bukan bermakna saya tidak bersedia untuk bertanding dalam acara 200m, tetapi saya tahu perlumbaan mana yang lebih baik untuk saya buat masa sekarang dan saya memilih 400m.

“Saya menjalani beberapa latihan ketahanan dan ia memberi saya keyakinan untuk menyertai acara ini.

Kemenangan ini secara tidak langsung membuka ruang buatnya untuk mengikut jejak jaguh 400m negara, Umar Osman yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 45.73s.

Beliau menyifatkan pencapaian Umar sebagai penanda aras terbaik untuk diteladani.

“Bersaing dengan Umar adalah satu persaingan yang baik kerana dia sudah melakukan catatan 45 saat. Itu memberi inspirasi kepada saya untuk terus memperbaiki diri.

“Insya-Allah satu hari nanti saya mahu menjadi orang kedua yang merekodkan catatan sama,” katanya.

Sementara itu, acara 400m wanita menyaksikan atlet Johor, Nor Malisya Mohd Ishak mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas dengan catatan 55.93s, yang juga rekod peribadi terbaiknya.

Nor Malisya meninggalkan wakil Terengganu, Nor Aliya Najihah Muda yang memperoleh perak menerusi catatan masa 56.76s, manakala Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak membawa pulang gangsa selepas merekodkan 57.03s.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.