SUKMA 2026: Sarawak rangkul emas pertama acara 4x100m wanita

Foto Bernama

SERDANG, 17 Ogos – Kuartet Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila merangkul pingat emas pertama dalam acara 4×100 meter (m) wanita selepas mencatatkan masa 46.89 saat (s) pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuartet Sarawak: Danea Humairah Sharyman Sufry, Alvinia Aivie Jackly, Syarifah Nur Alisya Syed Zafirna, Ormilla Octavia Codday Nyadau.
  • Terengganu meraih perak dibarisi Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nur Aina Syakira Mohd Rafizan, Nor Aliya Najihah Muda dan Ho Jun Lin; Johor gangsa.
  • Ormilla kata pasukan hanya mensasarkan rekod peribadi dan latihan terjejas oleh komitmen persekolahan serta jerebu di Sarawak.

Kuartet Sarawak terdiri daripada Danea Humairah Sharyman Sufry, Alvinia Aivie Jackly, Syarifah Nur Alisya Syed Zafirna dan Ormilla Octavia Codday Nyadau.

Kejayaan itu memperbaiki pencapaian gangsa Sarawak pada edisi 2024 di laman sendiri, yang juga merupakan pingat sulung negeri itu dalam acara tersebut.

Sekali gus, menyaksikan Sarawak menewaskan pencabar terdekat, Terengganu yang yang dibarisi Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nur Aina Syakira Mohd Rafizan, Nor Aliya Najihah Muda dan Ho Jun Lin yang meraih perak menerusi masa 46.94s.

Sementara itu, pingat gangsa pula menjadi milik kuartet Johor yang terdiri daripada Nabilah Natasha Azisyan, Mis’ezatul Shafieqa Sapawi, Varshini Sasidharan dan Maizurah Safree dengan catatan 47.24s.

Mengulas detik bersejarah, wakil kuartet Sarawak, Ormilla mengakui kejayaan itu adalah di luar jangkaan memandangkan sasaran asal mereka hanyalah untuk memperbaharui rekod peribadi.

“Pada awalnya kami langsung tidak menyangka akan menang dan tidak meletakkan harapan tinggi kerana fokus utama kami hanya mahu melakukan yang terbaik buat Sarawak serta memperbaharu rekod peribadi pasukan.

“Kami amat terkejut kerana kami menyangka Terengganu yang memenanginya, jadi kami rasa sangat gembira dan bangga dapat menyumbang emas ini buat Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran di kem latihan, Ormilla menjelaskan persiapan pasukan berdepan kekangan masa berikutan komitmen persekolahan serta isu jerebu di negeri berkenaan.

“Cabaran utama kami adalah ketika latihan pusat, kami tidak dapat berlatih bersama berikutan saya masih bersekolah dan rakan-rakan lain terpaksa menjalani latihan tanpa saya, dalam masa yang sama keadaan cuaca jerebu di Sarawak turut sedikit sebanyak menjejaskan sesi latihan,” tambah beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.