350 petugas bantuan terbunuh di seluruh dunia pada 2025 – PBB

Kematian tertinggi direkodkan di Gaza dan Sudan/ Foto AFP

NEW YORK, 18 Ogos – Jumlah petugas bantuan yang terbunuh di seluruh dunia pada 2025 mencecah 350 orang, dengan kematian tertinggi di Gaza dan Sudan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBB mengecam serangan terhadap petugas bantuan dan mendesak pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta tindakan terhadap pelanggar.
  • Lebih 1,000 petugas bantuan terbunuh dalam tiga tahun; tahun ini 82 terbunuh, 97 cedera, 39 diculik, menunjukkan ancaman berterusan.
  • OCHA bimbang peningkatan penggunaan dron bersenjata menyebabkan kematian orang awam dan kerosakan bandar, menambah risiko kepada petugas bantuan.

Demikian menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan serangan terhadap petugas kemanusiaan sebagai “tidak boleh diterima”.

Bagaimanapun, angka kematian itu sedikit rendah berbanding 2024 yang menyaksikan seramai 377 petugas bantuan terbunuh.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memetik angka berkenaan daripada kumpulan penyelidikan dan nasihat Humanitarian Outcomes dalam satu kenyataan bersempena Hari Kemanusiaan Sedunia.

Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Tom Fletcher dalam kenyataan itu memaklumkan, seramai 186 petugas kemanusiaan terbunuh di Gaza – lokasi paling berbahaya bagi petugas bantuan untuk tahun ketiga berturut-turut, diikuti Sudan dengan 71 kematian.

“Lebih 1,000 petugas bantuan terbunuh dalam tempoh hanya tiga tahun dan perkara itu sama sekali tidak boleh diterima.

“Sejak awal tahun ini, seramai 82 petugas bantuan terbunuh, manakala 97 cedera dan 39 diculik di seluruh dunia.

“Namun, sekadar mengecamnya tidak akan melindungi petugas bantuan yang seterusnya.

“Negara-negara mesti mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menggunakan setiap langkah yang ada untuk melindungi orang awam serta rakan sekerja kami,” kata Fletcher, sambil mendesak agar tindakan dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan.

OCHA turut menyuarakan kebimbangan khusus terhadap peningkatan penggunaan dron bersenjata yang meletakkan kuasa maut ke tangan semakin ramai pihak dan menyebabkan lebih banyak senjata letupan digunakan di bandar dan kawasan berpenduduk.

“Di Sudan, dron bersenjata menyebabkan 80 peratus kematian orang awam dalam tempoh empat bulan pertama 2026, dengan pasaran dan kemudahan kesihatan turut menjadi sasaran.

“Dron bersenjata kini menjadi wajah baharu kepada ancaman lama, kemusnahan kehidupan orang awam secara sengaja atau akibat tindakan melulu,” kata Fletcher. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.