
PADANG TERAP, 15 Jun – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mewujudkan pusat pengumpulan hasil durian atau Durian Hub sebagai pusat sehenti bagi urusan pengumpulan, penggredan dan pemasaran hasil durian peserta Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Pedu di Padang Terap.
- Lapan Durian Hub akan dibangunkan di sekitar Pedu, dengan peruntukan keseluruhan RM288,000 bagi memperkukuh industri durian tempatan.
- Empat lokasi awal dikenal pasti dengan kos pembangunan RM145,000; baki empat lagi akan dimuktamadkan dan dibangunkan sebelum penghujung tahun.
- Projek PROSPEK Pedu (2022 hingga 2026) memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk, 354 peserta durian, dan hampir 20,000 pokok di 284 hektar.
Inisiatif Durian Hub merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem industri durian di Mukim Pedu agar lebih tersusun, cekap dan mampu memberi pulangan lebih baik kepada para peserta.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak lapan lokasi Durian Hub akan dibangunkan di sekitar Pedu dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM288,000.
Pada peringkat permulaan, empat lokasi telah dikenal pasti iaitu di Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Padang Setol, Kampung Seladang Rebah dan Kampung Tok Pelu dengan kos pembangunan berjumlah RM145,000.
Manakala baki empat lagi lokasi akan dimuktamadkan dan dibangunkan sebelum penghujung tahun ini bagi memastikan lebih ramai peserta mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan.
“Dengan adanya pusat ini, para pengusaha tidak perlu lagi pergi jauh untuk memasarkan hasil tanaman mereka kerana kemudahan dan pasaran telah tersedia di sini. Selain durian kampung, pelbagai jenis durian premium seperti Musang King dan Black Thorn turut ada.
“Tempoh lima tahun, jika ditanam pada tahun 2022 selepas pandemik COVID-19 dijangka mula mengeluarkan hasil pada tahun hadapan, iaitu 2027, insya-Allah.
“Kebanyakanpokok durian yang lain pula merupakan durian tradisional yang telah lama ditanam di kawasan ini. Saya berharap pusat ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran durian, malah menjadi tarikan pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke daerah Padang Terap, khususnya di Pedu, apabila tibanya musim durian”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Durian Fest @ PROSPEK Pedu 4.0 di Bukit Langsat Padang Setol, Pedu, Padang Terap.
PROSPEK Pedu bermula pada tahun 2022 dengan tempoh pelaksanaan selama lima tahun dan kos keseluruhan berjumlah RM7.9 juta.
Tahun 2026 yang merupakan tahun akhir pelaksanaan PROSPEK Pedu, sebanyak RM3.6 juta diperuntukkan melibatkan bantuan ekonomi berjumlah RM2.16 juta termasuk RM400,000 bagi penyediaan input baja pertanian tanaman durian.
Selain itu, peruntukan RM720,000 bagi prasarana asas serta RM720,000 untuk projek perumahan melibatkan kerja baik pulih dan bina baharu rumah.
Projek ini memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk Mukim Pedu dan melibatkan 12 buah kampung iaitu Kampung Padang Setol, Kampung Kuala Tekai, Kampung Pauh, Kampung Baru Seladang, Kampung Musa, Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Buluh, Kampung Banggol Pong, Kampung Pinang, Kampung Tong Pelu, Kampung Kepala Batas.
Sehingga kini, seramai 354 peserta PROSPEK Pedu terlibat dalam perusahaan tanaman durian melibatkan keluasan 284 hektar dengan hampir 20,000 pokok durian terdiri daripada varieti klon dan durian kampung.
Hampir 40 peratus daripada pokok-pokok tersebut berusia melebihi 30 tahun yang menghasilkan buah dengan rasa dan identiti tersendiri.