Penggunaan ‘vape’ dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan, ancam kesihatan awam

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Gabungan Keselamatan Komuniti Malaysia (IKATAN) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan rokok elektronik atau ‘vape‘ dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja, yang disifatkan sebagai ancaman kesihatan awam yang memerlukan tindakan segera serta bersepadu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan vape dalam kalangan remaja menyebabkan ketagihan nikotin dan risiko kesihatan fizikal serta mental yang serius.
  • Pembungkusan menarik, perisa dan pemasaran dalam talian memudahkan akses dan menarik minat pelajar.
  • Tindakan segera diperlukan: penguatkuasaan jualan kepada bawah umur, kawalan iklan dalam talian dan program kaunseling di sekolah.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, produk yang pada asalnya dianggap sebagai alat membantu perokok dewasa berhenti merokok kini telah bertukar menjadi trend berbahaya dalam kalangan golongan muda, sekali gus mendedahkan mereka kepada ketagihan nikotin pada usia awal serta risiko kesihatan yang serius.

Beliau berkata, pembungkusan yang menarik, produk berperisa, pemasaran agresif menerusi platform dalam talian serta akses yang mudah menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan vape dalam kalangan pelajar.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah kemunculan produk vape haram yang mengandungi bahan berbahaya yang boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan fizikal dan mental,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan Sri Lee menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai masalah disiplin, sebaliknya perlu ditangani sebagai isu kesihatan awam yang lebih luas. Beliau menggesa pendekatan menyeluruh melibatkan ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa kesihatan, agensi penguatkuasaan, pemimpin masyarakat dan media.

Bagi menangani masalah itu, beliau mencadangkan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penjualan produk vape kepada golongan bawah umur serta pemeriksaan berkala di sekitar sekolah dan institusi pendidikan.

Beliau turut menggesa kawalan lebih ketat terhadap penjualan dan pengiklanan vape secara dalam talian yang menyasarkan golongan muda, di samping memperhebatkan kempen pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya penggunaan vape.

Selain itu, beliau berkata ibu bapa perlu lebih peka terhadap aktiviti harian dan pengaruh rakan sebaya terhadap anak-anak mereka, manakala perkhidmatan kaunseling dan sokongan perlu disediakan kepada pelajar yang telah mengalami ketagihan nikotin.

Tan Sri Lee turut menekankan bahawa sekolah mesti kekal sebagai kawasan bebas vape dan pelajar yang didapati menggunakan vape perlu dibimbing menerusi program kaunseling serta pemulihan, bukan sekadar dikenakan hukuman.

“Masa depan negara bergantung kepada kesihatan dan kesejahteraan generasi muda kita. Kita mesti bertindak tegas sekarang bagi mengelakkan penggunaan vape berkembang menjadi krisis kesihatan awam yang lebih besar dalam kalangan belia Malaysia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.